TERENGGANU FC mengesahkan penjaga gol mereka, Rahadiazli Rahalim mengalami kecederaan pada siku kiri (Left Elbow Dislocation) ketika menjalani sesi latihan bersama pasukan pada Rabu.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Khamis, kelab memaklumkan bahawa dia kini sedang menerima rawatan serta pemantauan rapi daripada pasukan perubatan Terengganu FC.
“Pihak kelab akan terus memantau proses pemulihan Rahadiazli dan memberi sokongan penuh agar beliau dapat kembali beraksi bersama pasukan secepat mungkin,” kata kenyataan itu.
BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah
Terengganu FC turut menyeru penyokong setia skuad Penyu agar mendoakan kesembuhan segera buat penjaga gol berusia 24 tahun itu supaya dapat kembali mengawal gawang pasukan dalam saingan akan datang.
Untuk rekod, Rahadiazli atau mesra disapa Abe hanya sempat beraksi selama enam minit ketika pertemuan menentang Melaka FC pada 25 September lalu dalam saingan Liga Super 2025/26.
Bagaimanapun, kecederaan terbaharu ini bukanlah penamat kariernya bersama Sang Penyu memandangkan Abe masih dianggap antara penjaga gol muda berbakat dan aset penting buat pasukan.

Rahadiazli dilaporkan mengalami kecederaan pada siku kiri ketika menjalani sesi latihan bersama Sang Penyu. — Facebook/TFC
Berbekalkan pengalaman dan usia yang masih muda, Rahadiazli diyakini mampu bangkit semula untuk terus menjadi benteng terakhir kebanggaan Terengganu FC.
Rahadiazli pernah diangkat sebagai penjaga gol yang berpotensi skuad Sang Penyu selepas diserap ke dalam pasukan utama seawal usia 19 tahun.
Meskipun masih muda pada ketika itu, dia tidak mempunyai masalah untuk meletakkan diri sebagai pencabar utama posisi itu sehingga dapat menjadikan TFC sebagai antara pasukan terbaik tempatan.
Sebelum ini, pemain berketinggian 1.92 meter itu pernah mencipta nama apabila menjadi wira Terengganu dalam separuh akhir Piala FA 2022 selepas menafikan dua sepakan penalti Selangor FC dalam penentuan sepakan penalti.
Namun, ini bukan kali pertama Rahadiazli berdepan kecederaan serius kerana pada musim Liga Super 2022, Abe terpaksa dikejarkan ke hospital selepas bertembung dengan pemain lawan, Harith Naem Jaineh ketika menentang Melaka United.
Perlawanan ketika itu terpaksa dihentikan selama hampir enam minit bagi membolehkan pasukan perubatan memberikan rawatan kecemasan, sebelum Terengganu mencatat kemenangan 5-0 hasil jaringan tiga bekas pemain Sang Penyu, Kipre Tchetche yang meledak hatrik dan dua gol masing-masing dicetak Kpah Sherman dan Nik Sharif Haseefy. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
