Misi hidup mati, Selangor boleh lupakan kempen ACL Two jika tewas di Indonesia


  • Podium
  • Selasa, 21 Okt 2025

Kemenangan besar ke atas Negeri Sembilan FC dalam Piala FA memberi keyakinan bahawa Selangor mampu meraih keputusan positif di Bandung. — Facebook/Selangorfc

SELANGOR FC bakal meneruskan kempen Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL 2) menentang wakil Indonesia, Persib Bandung dalam perlawanan Kumpulan G yang dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bandung Lautan Api, Bandung pada Khamis.

Pertembungan tersebut dianggap sebagai misi hidup mati buat skuad Gergasi Merah dalam usaha menghidupkan kembali peluang untuk mara ke peringkat kalah mati selepas bermula hambar dalam dua aksi terdahulu.

Setakat ini, Selangor belum meraih sebarang mata selepas tewas 2-4 dalam kedua-dua aksi menentang Lion City Sailors dan Bangkok United, sekali gus meletakkan mereka di tangga tercorot Kumpulan G.

BACA LAGI: Terengganu jangan malu panggil semula Nafuzi atau Hai-O demi perbaiki musim hambar

BACA LAGI: [VIDEO] 'Confirm seminggu tak basuh tangan', budak pengiring aksi JDT-Penang tak henti tersengih dapat pegang glove Syihan

Selangor FC dilihat bersedia sepenuhnya untuk menguji kekuatan Persib Bandung dalam pertemuan penting Khamis. Facebook/Selangorfc

Bagaimanapun, peluang masih terbuka memandangkan format kejohanan menggunakan sistem liga dua pusingan (round robin) yang mana setiap pasukan akan berdepan lawan masing-masing di tempat sendiri dan tempat lawan.

Hanya juara dan naib juara kumpulan akan mara ke pusingan 16 terbaik.

Atas sebab itu, pertemuan dengan Persib Bandung menjadi perlawanan yang amat penting buat skuad kendalian Christophe Gamel untuk Selangor kembali menghidupkan kempen mereka.

Kemenangan di bumi Indonesia bukan sahaja membuka ruang untuk bangkit, malah mampu menyuntik semangat pasukan bagi mengharungi baki tiga perlawanan akan datang.

Walaupun Persib dijangka memberi tentangan hebat, prestasi semasa Selangor khususnya selepas kemenangan besar ke atas Negeri Sembilan FC dalam aksi Piala FA dijangka mampu memberi keyakinan bahawa mereka mampu membawa pulang keputusan positif dari Bandung.

Faisal Halim dijangka menjadi senjata utama Gergasi Merah dalam merobek benteng pertahanan lawan. Facebook/Selangorfc

Namun, lawan yang bakal dihadapi bukan calang-calang kerana Persib kendalian Bojan Hodak kini menghuni tangga kedua kumpulan dengan empat mata hasil kemenangan 2-0 ke atas Bangkok United dan keputusan seri 1-1 menentang Lion City Sailors.

Kedudukan semasa Persib di tempat keempat Liga 1 Indonesia turut membuktikan mereka bukan pasukan belasahan, sekali gus menjadikan kemenangan ke atas mereka sebagai penanda kebangkitan sebenar buat Selangor.

Sekiranya berjaya mengutip tiga mata penuh, Selangor bukan sahaja kembali ke landasan persaingan, malah dapat membina semula momentum dan keyakinan dalam meneruskan kempen ACL 2.

Persoalannya kini, mampukah Gergasi Merah mencipta kejutan dan membawa pulang tiga mata berharga dari gelanggang keramat Persib? Sama-sama kita nantikan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram