Faktor fizikal jadi pemisah, Luqman Hakim perlu contohi Faisal Halim untuk sesuaikan diri dalam Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 23 Okt 2025

Penyerang berbisa Selangor FC, Faisal Halim kini mencatatkan tujuh gol selepas 13 perlawanan bersama Gergasi Merah. — Facebook/selangorfc

PERBANDINGAN prestasi dua penyerang tanah air, Luqman Hakim Shamsudin dan Faisal Halim mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Walaupun Luqman mempunyai pengalaman beraksi di tiga negara iaitu Belgium, Iceland dan Jepun namun prestasinya bersama Negeri Sembilan FC ketika ini dianggap jauh daripada jangkaan ramai.

Berdasarkan rekod, pemain berusia 23 tahun itu hanya membuat empat penampilan dalam Liga Malaysia tanpa sebarang jaringan setakat ini.

BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

BACA LAGI: 'Tiada yang mustahil', bintang DPMM FC bawa mentaliti positif hadap JDT di SSI lepas raih kemenangan sulung

Penyerang NSFC, Luqman Hakim (kiri) dan Faisal Halim. Facebook

Sebaliknya, Faisal Halim atau lebih mesra disapa Mickey terus menampilkan prestasi cemerlang bersama Selangor FC dengan tujuh gol daripada 13 penampilan, sekali gus menjadi antara watak penting dalam kebangkitan Gergasi Merah musim ini.

Perbezaan ketara itu mencetuskan pelbagai pandangan termasuk dari segi fizikal dan penyesuaian diri dalam Liga Super.

Menurut satu hantaran oleh Oak United Creative di Facebook, Luqman disarankan mencontohi pendekatan Faisal dalam menyesuaikan diri dengan tempo liga tempatan.

“Untuk cepat ‘settle down’ dalam Liga Super, lebih baik Luqman kembali kepada bentuk tubuh asalnya yang lebih ringan. Tak perlu bina otot terlalu berketul hingga nampak seperti pelari pecut.

“Berbeza dengan Faisal Halim yang kini berada dalam prestasi terbaik bila lihat dia berlari dan meraikan gol bersama jurulatih Peter Cklamovski pun kita tahu betapa ringannya pergerakan Mickey," katanya.

Dengan reputasi besar yang dibawa pulang dari luar negara, penyokong kini menantikan kebangkitan semula Luqman bagi membuktikan keupayaannya di pentas Liga Malaysia, sekali gus kembali menjadi antara penyerang tempatan yang digeruni. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram