Tampil imej baharu, keberanian Khuzaimi hadap Selangor sekembalinya dari kecederaan dapat sokongan isteri


  • Podium
  • Khamis, 23 Okt 2025

Khuzaimi berdepan kemelut kecergasan dan baru diturunkan dua kali sepanjang musim 2025/26. — Facebook/Negeri Sembilan FC

KEKALAHAN 0-4 dialami Negeri Sembilan FC dalam suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC di laman sendiri pada Sabtu lalu menyaksikan hampir kesemua pemain menjadi sasaran kritikan penyokong.

Barisan pertahanan yang berkali-kali leka sepanjang perlawanan menjadi topik perbualan hangat kerana gagal menyekat jentera serangan pasukan pelawat.

Tumpuan utama diberikan kepada kapten pasukan, Ahmad Khuzaimi Piee yang kali kedua diturunkan musim ini selepas kontraknya bersama Selangor FC tidak dilanjutkan.

BACA LAGI: Ramai ingat isteri, tapi yang terlibat kemalangan mama saya — Khuzaimi Piee

BACA LAGI: Khuzaimi Piee berteka-teki, beri ‘hint’ lanjut kontrak atau sertai NSFC, Melaka

Skuad Jang perlu bangkit susulan kekalahan memalukan kepada Selangor FC. Facebook/Negeri Sembilan FC

Dia sebelum ini terpaksa direhatkan akibat masalah kecergasan dan hanya diberikan masa 29 minit ketika berdepan PDRM FC pada 12 September lalu, sekali gus membuatkan aksi di laman sendiri tempoh hari semakin sukar.

Pemain kebangsaan itu jelas bergelut untuk mengekang gerakan lawan selain tidak melakukan komunikasi jelas bersama rakan sepasukan sehingga memberi ruang besar kepada pasukan pelawat.

Bagaimanapun, kecaman dilemparkan di media sosial tidak mematahkan semangat Khuzaimi yang mahu bangkit membantu skuad Jang seperti mana dikongsikannya menerusi Instastory.

Dalam hantaran baharu itu, pemain berusia 31 tahun berkenaan berkongsi semula hantaran isterinya yang memaparkannya sudah memotong rambut berserta mesej penting.

Khuzaimi mengenakan gaya rambut pendek berikutan kekalahan kepada Selangor FC.

"Dia (Khuzaimi) sedang tersenyum, tetapi saya sudah mengenalinya. Dia hanya mengenakan potongan rambut pendek jika menghadapi sesuatu atau mahu permulaan baharu. Saya tidak selalu berkata berkaitan kariernya, tetapi beri peluang untuk berkata mengenai aksi baru-baru ini.

"Awak baru sahaja pulih dan ini merupakan aksi (penting) pertama yang mana tak ramai pemain boleh buat. Anda boleh mengelak dengan berkata tidak bersedia, namun awak masih tekad dan saya berbangga akannya," kata isteri Khuzaimi.

Dorongan itu amat diperlukan bek Harimau Malaya tersebut yang mengalami kemerosotan prestasi akibat kecederaan sehingga membuatkan kariernya bersama Selangor FC berakhir dengan kekecewaan.

Malah, sepanjang dua musim di Lembah Klang, dia hanya sempat beraksi 20 kali dalam semua pertandingan dan terpaksa berpuas hati untuk menyaksikan perlawanan di bangku simpanan.

Khuzaimi tidak menikmati dua musim yang baik bersama skuad Gergasi Merah. Facebook/Selangor FC

Perpindahan kembali ke Negeri Sembilan FC diharapkan mampu mengembalikannya ke prestasi terbaik dengan pasangannya turut berharap dia mampu berbuat demikian.

"Penyokong memberi kritikan hebat, jadi inilah masanya untuk membutakan mata dan memekakkan telinga. Jangan berasa berang terhadap mereka kerana ada yang sanggup berbelanja besar untuk turun ke stadium.

"Ini bukanlah kali pertama dan anda tahu caranya. Hanya persembahan terbaik dapat mengembalikan semangat dan kepercayaan pernah awak miliki, ini hanyalah satu fasa yang perlu ditempuhi," katanya.

Khuzaimi pasti mengharapkan kebangkitan dapat dilakar dirinya dan skuad Jang dalam aksi Liga Super akan datang berdepan PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram