Muncul pelanggan terpilih sebelum terjerat along, kisah ngeri bermula di sebalik hadiah botol air ‘percuma’


  • Massa
  • Khamis, 23 Okt 2025

Seorang wanita mengalami kerugian RM34,800 selepas tertipu dengan tawaran botol air percuma. — Gambar hiasan

SEORANG wanita mengalami kerugian RM34,800 selepas terperangkap dalam penipuan dalam talian yang bermula dengan tawaran botol air 'percuma' sebelum akhirnya terjerat dengan empat pemberi pinjaman haram (along).

Insiden itu dikongsikan oleh abang mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Azmi Jamaludin di laman Facebook dan kini tular di media sosial sebagai peringatan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati terhadap tawaran mencurigakan.

Menurutnya, adiknya pada mulanya menerima panggilan daripada individu yang mendakwa wakil platform e-dagang terkenal dan menawarkan hadiah botol air percuma sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.

BACA LAGI: Hukuman rotan di sekolah wajar dikembalikan tapi bersyarat — PM Anwar

BACA LAGI: [VIDEO] 'Isteri kena tegur, kenapa suami mengamuk buka baju?', pengunjung patut lebih terbuka terima teguran pengawal di Masjid Selat

Tanpa mengesyaki apa-apa, adiknya memberikan alamat rumah dan menerima bungkusan berkenaan beberapa hari kemudian.

Tambahnya, beberapa hari selepas itu, individu sama menghubungi semula dan meminta adiknya memberi ulasan (review) mengenai produk tersebut dan dia kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang kononnya terdiri daripada pelanggan terpilih.

Katanya lagi, adiknya mula mempercayai kumpulan tersebut dan mengikut arahan untuk melakukan tugasan mudah serta membuat sumbangan kecil ke akaun 'tabung amal'.

"Dalam kumpulan itu, ahli lain kelihatan memberi testimoni dan menunjukkan kononnya menerima komisen RM2 hingga RM5 bagi setiap tugasan. Semua ini nampak macam legit, dia pun ikut arahan join group, bagi review dan follow beberapa channel Telegram," katanya.

Tidak lama kemudian, pentadbir kumpulan menawarkan peluang menjadi ejen dengan komisen lebih tinggi jika membayar yuran pengesahan RM410.

Selepas bayaran dibuat, adiknya diarahkan melaksanakan beberapa tugasan tambahan, namun apabila terdapat 'kesilapan teknikal', dia diminta membuat bayaran lain untuk membetulkan sistem.

"Situasi itu berulang sehingga dia kerugian lebih RM13,000, selain menerima ugutan bahawa maklumat peribadinya akan disebarkan di media sosial sekiranya enggan membayar lagi," kongsinya.

Muhammad Azmi berkata, dalam keadaan panik dan tertekan, adiknya segera mencari pinjaman segera melalui iklan di Facebook sebelum dihubungi beberapa individu yang menawarkan pinjaman mudah.

"Dalam keadaan tertekan, dia mencari pinjaman segera melalui iklan di Facebook dan dihubungi beberapa individu yang menawarkan pinjaman 'mudah lulus'. Tanpa disedari, semua individu tersebut merupakan along yang mengenakan syarat pinjaman tidak munasabah," ujarnya.

Dalam keadaan panik dan tertekan, adiknya segera mencari pinjaman segera melalui iklan di Facebook. Gambar hiasan

"Adik pinjam sejumlah wang daripada empat along dengan syarat tidak munasabah, termasuk hanya menerima RM930 daripada pinjaman RM1,000 dan perlu membayar RM2,000 dalam 14 hari, menerima RM2,600 daripada pinjaman RM4,000 dengan bayaran balik RM5,000, menerima RM2,480 bagi pinjaman RM4,000 dengan bayaran harian RM270, serta pinjaman RM2,600 yang perlu dibayar RM800 sebanyak lima kali.

"Jumlah keseluruhan hutang meningkat melebihi RM12,000 menyebabkan dia hidup dalam ketakutan akibat ugutan dan tekanan daripada along," katanya.

Apabila tidak mampu lagi menanggung tekanan, adiknya membuat laporan polis dan cuba mendapatkan bantuan beberapa pihak termasuk sebuah pertubuhan yang mendakwa boleh membantu berunding dengan along.

Namun, terdapat juga pertubuhan yang didakwa mahu membantu tetapi meminta bayaran tambahan RM2,500, menyebabkan keluarga mangsa mengambil keputusan untuk menyelesaikan hutang terus dengan along tanpa orang tengah.

Receiving an unknown incoming call. Scam concept

Orang ramai disarankan untuk tidak mudah percaya dengan tawaran hadiah percuma atau peluang 'dapat duit mudah'. Gambar hiasan

Kini, keluarga mengesahkan semua bayaran telah diselesaikan dan tiada lagi gangguan diterima.

"Jumlah keseluruhan kerugian yang ditanggung adiknya mencecah RM34,800, merangkumi RM13,000 yang dibayar kepada sindiket scammer, RM8,000 pinjaman daripada majikan, serta RM13,800 yang digunakan untuk melunaskan hutang along," jelasnya.

Susulan kejadian itu, keluarga mangsa berharap kejadian itu menjadi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan tawaran hadiah percuma atau peluang 'dapat duit mudah'.

“Semuanya bermula dengan satu panggilan. Jangan sesekali beri maklumat peribadi atau buat bayaran kepada pihak yang tidak dikenal. Sekali dah terjerat, bukan senang nak keluar,” katanya.

Pada masa sama, dia turut menasihatkan orang ramai yang menghadapi masalah kewangan supaya tidak mencari along dan sebaliknya mendapatkan bantuan daripada agensi sah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram