CABARAN getir kini semakin dirasai oleh Penang FC apabila skuad Harimau Kumbang bakal berkunjung ke Stadium Negeri, Sarawak untuk menentang Kuching City FC yang kini berada dalam prestasi cemerlang dalam saingan Liga Malaysia.
Pertemuan yang dijadual berlangsung pada Sabtu dijangka menjadi aksi menarik memandangkan kedua-dua pasukan kini masing-masing sedang berada dalam momentum terbaik.
Kuching City kini menghuni tangga keempat Liga Super dan dilihat memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri.
BACA LAGI: Tiket tak lagi laku, NSFC perlu pantas kekalkan kemeriahan di Paroi
BACA LAGI: Fans Singapura kata lawan JDT rehatkan ramai pemain bintang, patut menang mudah

Skuad The Cats memiliki kelebihan untuk meraih kemenangan kerana perlawanan menentang Penang berlangsung di laman sendiri. — Facebook/kuchingcityfc
Tambahan pula, skuad kendalian Aidil Sharin Sahak itu sedang berada dalam prestasi terbaik selepas mencatatkan empat kemenangan berturut-turut, sesuatu yang pastinya bakal memberi cabaran hebat kepada pelawat dari Utara tanah air itu.
Sebaliknya, Penang FC masih bergelut untuk mencari rentak konsisten selepas hanya meraih satu kemenangan setakat ini dalam saingan Liga Super.
Namun begitu, skuad kendalian Wan Rohaimi Wan Ismail dijangka tetap mampu memberikan tentangan sengit terhadap The Cats berbekalkan semangat baharu hasil keputusan positif dalam dua aksi terakhir mereka.
Dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bandaraya pada 17 Oktober lalu, Penang tewas tipis 1-2.
Walaupun kekalahan itu sedikit mengecewakan, jaringan tunggal yang dihasilkan oleh bek kiri, Adib Ra’op dijangka menjadi tonik penting buat pasukan tersebut.
Lebih manis, Penang sebelum itu berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC 2-1 di laman sendiri pada 4 Oktober dalam saingan Liga Super, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi mereka.

Jaringan Adib Ra'op menentang JDT pastinya menjadi tonik motivasi buat Penang dalam menghadapi cabaran The Cats. — Facebook/penangfc
Dengan semangat dan keyakinan yang semakin meningkat, Penang FC dijangka beraksi tanpa tekanan apabila turun menentang Kuching City nanti kerana beberapa faktor positif yang menyokong prestasi dan mentaliti pasukan.
Pertama, Penang kini berada dalam keadaan pemain yang cukup lengkap tanpa menghadapi masalah pemain utama digantung atau cedera, membolehkan mereka menurunkan barisan terbaik dan memberikan fokus penuh dalam perlawanan.
Selain itu, meskipun berada di tangga bawah berbanding Kuching City, Penang berjaya menunjukkan peningkatan prestasi dengan beberapa keputusan positif termasuk kemenangan ke atas Negeri Sembilan dan gol yang dijaringkan ke atas juara bertahan JDT.
Situasi itu juga mengurangkan tekanan kerana Kuching City sebagai pasukan tuan rumah lebih diharapkan untuk meraih kemenangan dan membolehkan Penang bermain dengan lebih bebas dan tanpa beban tekanan besar.
Perkara itu turut membuka peluang kepada Penang untuk bermain habis-habisan dan memberi saingan sengit tanpa rasa tertekan.
Walaupun Kuching City tampak pilihan untuk meraih tiga mata di laman sendiri, Penang FC diyakini mampu memberikan saingan sengit berdasarkan prestasi semasa dan peningkatan yang ditunjukkan dalam beberapa perlawanan kebelakangan ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
