PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat bahawa pelaksanaan hukuman rotan di sekolah wajar dipertimbangkan semula, namun perlu disertakan dengan garis panduan dan kawalan ketat bagi mengelakkan sebarang bentuk penyalahgunaan.
Anwar menegaskan bahawa pandangan itu merupakan pendapat peribadinya dan belum menjadi dasar kerajaan, malah perkara berkenaan perlu diperhalusi melalui libat urus menyeluruh antara Kementerian Pendidikan (KPM) bersama pihak berkepentingan termasuk Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
“Berkaitan hukuman rota, pandangan peribadi saya, yang telah saya suarakan ialah ia boleh dikembalikan tetapi dengan syarat ketat dan bukan rotan secara terbuka.
“Rotan mungkin boleh dilakukan di tapak tangan, namun bukan diberi kelonggaran sepenuhnya.
"Saya pernah menjadi guru, saya pernah merotan tetapi hanya di tangan dan tentunya tidak sampai tahap penderaan," katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH–Jelutong) berhubung cadangan untuk membenarkan guru menggunakan budi bicara dalam melaksanakan hukuman rotan sebagai langkah disiplin, seperti yang pernah dilaksanakan pada masa lalu.
Anwar menambah, walaupun sebahagian kumpulan hak asasi manusia menganggap hukuman rotan sebagai satu bentuk penderaan kanak-kanak, ramai pendidik dan ibu bapa masih berpendapat ia relevan sekiranya dilaksanakan secara berhemah dan bertanggungjawab. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
