KOMITMEN yang dicurahkan Takumi Sasaki buat Negeri Sembilan FC sememangnya tidak boleh diperkecilkan kerana dia masih memberi persembahan terbaik walaupun pasukannya tidak berada dalam prestasi terbaik.
Malah, ketika suku akhir pertama Piala FA menentang Selangor FC, import dari Jepun itu turun beraksi meskipun difahamkan mengalami kecederaan hidung.
Ini membuktikan Sasaki merupakan aset penting buat skuad Jang dengan penyokong perlu menghargai kehadirannya dengan harapan ia dapat menjadi titik kebangkitan pasukan.
BACA LAGI: Selain 5 pemain lokal, CEO NSFC sanggup terbang ke Jepun cari kawan untuk Sasaki

Stadium Tuanku Abdul Rahman tidak pernah putus dari sokongan memberangsangkan.
Kisah mengenai komitmennya buat Negeri Sembilan FC tidak terhenti di situ kerana Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Faliq Firdaus turut mempunyai cerita menarik berhubung kesungguhan pemain terbabit.
Dalam satu perkongsian di laman Facebook peribadinya, dia berkongsi bagaimana Sasaki bersungguh-sungguh untuk menjalani sesi latihan walaupun baru sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) musim lalu.
"Musim itu bukan musim yang mudah. NSFC mengharungi saat sukar, kedudukan kedua terakhir, kelab tidak stabil dan sedang dalam proses permulaan pemulihan. Setiap kali tewas, Takumi akan duduk berseorangan di bangku simpanan. Merenung padang, mengenangkan nasib pasukan.
"Majoritinya kami tewas. Tapi dia tidak pernah mengeluh dan bermain di dalam stadium kosong. Malah, dialah antara yang paling konsisten sepanjang musim," tulisnya.

Sasaki sering tersandar dan merenung ke padang setiap kali skuad Jang tumpas musim lalu.
Persembahan skuad Jang sepanjang kempen 2024/25 adalah amat mengecewakan apabila perubahan barisan kejurulatihan dari Azzmi Aziz kepada K Nanthakumar gagal membawa perubahan.
Kesannya, penyokong enggan hadir ke stadium yang semakin memberi tekanan buat Faliq serta pihak pengurusan dalam mencari penyelesaian terhadap isu di luar dan dalam padang dihadapi pasukan.
Setiap langkah diambil dilihat mula membuahkan hasil kerana Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi tidak pernah sunyi musim ini selepas skuad Jang berada dalam prestasi lebih baik.
"Tamat musim, tiba masa untuk membina semula pasukan. Sebagai CEO, saya hanya mampu menyampaikan visi, apa yang kelab ini mahu jadi, apa perancangannya, dan apa yang sedang kami hadapi.
"Saya beritahu Takumi tentang jurulatih baharu, dan bertanya sama ada dia mahu terus bersama kelab. Namun, jawapan Takumi sentiasa sama, 'Jangan risau, CEO. Saya percayakan anda'. Dia memilih untuk kekal, dan itu bukan keputusan kecil," tulisnya.
Keputusan Sasaki untuk kekal bukan sahaja dibuat kerana sudah selesa dalam pasukan memandangkan dia terus menjadi watak utama, lebih-lebih lagi dalam jentera serangan Negeri Sembilan FC.
Malah, seperti mana dinyatakan di atas, komitmen besar turut dicurahkannya ketika bergelut dengan kecederaan, termasuk ketika aksi Liga Super menentang Imigresen FC yang tidak diketahui ramai.
"Jari tangannya patah, tetapi dia terus bermain hingga tamat wisel. Keputusan berakhir 1-1. Tiada rungutan. Tiada alasan. Tempoh hari menentang Selangor, hidungnya retak. Tetapi dia tetap mahu main dan pakai 'face guard' untuk terus diturunkan menentang Selangor FC," tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
