CEF selebriti, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan memaklumkan, beliau dan anaknya, pelakon Serina Redzuawan, memenangi kes saman fitnah yang difailkan terhadap mereka oleh bekas suami Serina, Gavin Edward O'Luanaigh dan isterinya.
Menurut Chef Wan dalam hantaran di Instagramnya pada Jumaat, kemenangan itu diperoleh selepas mahkamah mendapati dakwaan berhubung mereka menfitnah pasangan berkenaan tidak berasas, sekali gus menolak tuntutan saman tersebut.
"Alhamdulillah, kami berdua menang saman difailkan oleh bekas suami Serina dan isterinya yang mendakwa kami menfitnah mengenai hubungan sulit mereka semasa tempoh perkahwinan," tulisnya.
BACA LAGI: ‘Nak hantar anak sekolah tiba-tiba air naik’, beberapa keluarga terperangkap banjir di Taiping
BACA LAGI: Signifikasi di sebalik mengapa karpet Parsi kekal jadi pilihan hiasan kediaman zaman-berzaman
Chef Wan turut mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah berdepan tuduhan tidak berasas sebelum ini apabila dituduh mempunyai kecenderungan pedofilia selepas membantu cucunya yang mengadu sakit akibat digigit semut pada bahagian sulit.
"Dia cuma budak kecil. Sudah tentu saya tengok sebab dia mengadu sakit. Saya suruh pembantu rumah dan pemandu bawa ke klinik. Tapi perkara itu dijadikan bahan saman terhadap saya," katanya.
Tambah Chef Wan, keputusan mahkamah berpihak kepada mereka selepas semua bukti dan keterangan dikemukakan semula di hadapan hakim.
"Akhirnya mahkamah menyebelahi kami sekali lagi selepas kami menunjukkan segala bukti dan menceritakan perkara sebenar," jelasnya.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya kini sedang menimbang untuk memfailkan saman balas bagi menuntut ganti rugi atas kehilangan masa, rasa malu serta kos guaman yang ditanggung sepanjang perbicaraan.
Dalam nada kesal, Chef Wan berkata, pertikaian yang berlarutan itu hanya membazirkan masa dan sumber semua pihak termasuk mahkamah.
"Saya sudah bosan ke mahkamah, bosan dengan isu sama. Anak pun sudah hampir 16 tahun. Semua ini hanya membuang masa dan duit. Kami hanya mahu hidup dengan tenang," luah Chef Wan.
Menurut beliau lagi, meskipun kemenangan itu membuktikan kebenaran di pihak mereka, beliau tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang menggembirakan.
"Yang kaya hanyalah peguam, kami pula terpaksa menanggung semua kos. Duit itu lebih baik digunakan untuk masa depan anak. Akhirnya, nama yang busuk tetap milik orang yang melakukan perkara tidak senonoh," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
