
NEGERI Sembilan FC (NSFC) sedang merancang sesuatu yang besar untuk memperbaiki serangan mereka dalam saingan Liga Super musim 2025/2026 nanti.
Selepas menamatkan saingan di tangga ke-12 daripada 13 pasukan dalam divisyen utama, skuad Jang dijangka akan melakukan perubahan besar dalam bahagian pemain dan kejurulatihan.
Difahamkan bahawa kelab tersebut telah mendapatkan bekas jurulatih Felda United dan Selangor FC iaitu Nidzam Jamil untuk mengemudi pasukan, dan beberapa pemain baharu juga dijangka dibawa masuk.
BACA LAGI: Hampir selesaikan 4 'transfer', nampak gayanya tanduk skuad Rusa makin tajam musim depan
BACA LAGI: Masa untuk pulang? Selangor-NSFC-Kedah boleh cuba nasib pikat Luqman Hakim
Antara pemain paling menyerlah dikhabarkan ialah bekas penyerang bawah 23 tahun (B-23) kebangsaan, Luqman Hakim Shamsuddin yang pernah beraksi bersama beberapa kelab luar negara seperti KV Kortrijk (Belgium), Nardvik (Iceland) dan YSCC Yokohama (Jepun) sebelum kembali ke Malaysia tahun ini.
Turut disebut ialah pemain pertahanan tengah kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Piee yang telah meninggalkan Gergasi Merah dan dikhabarkan bakal kembali menyertai Negeri Sembilan untuk kali kedua.
Kali terakhir pemain berusia 31 tahun berkenaan menyarung jersi skuad Jang ialah pada 2022 dan merupakan tonggak dalam membantu pasukan berkenaan menghuni kedudukan keempat.
Luqman Hakim (tengah) dalam sasaran NSFC.
Negeri Sembilan juga hampir pasti mendapatkan penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Azri Ghani, pemain sayap Terengganu FC, Hakimi Abdullah dan pertahanan Perak FC, Ariff Ar-Rasyid.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab, Faliq Firdaus mahukan pencapaian yang lebih baik daripada pasukan Negeri Sembilan untuk musim baharu nanti.
“Musim lalu penuh dengan pengajaran. Perkara yang paling mengecewakan ialah menghampakan mereka yang percaya kepada kami seperti penyokong, barisan pemimpin, penaja, dan mereka yang melaburkan segalanya untuk melihat kami berjaya.
“Mereka kata ini hanya sukan. Tapi bukan. Bagi sesetengah orang, inilah satu-satunya sumber rezeki. Bagi yang lain, inilah satu-satunya jalan keluar daripada masalah hidup,” katanya.
CEO skuad Jang, Faliq Firdaus. — Facebook/NSFC
Bagi pemain import, kelab tersebut sedang berusaha untuk mendapatkan lebih ramai pemain dari Jepun, susulan prestasi cemerlang pemain tengah mereka iaitu Takumi Sasaki pada musim lalu.
Setakat ini, Sasaki disahkan sebagai satu-satunya pemain import yang dikekalkan oleh kelab.
Faliq akan terbang ke Jepun tidak lama lagi untuk berbincang dengan beberapa kelab dan mencari pemain pinjaman.
“Setakat ini, kami telah sahkan lawatan ke kelab seperti Jubilo Iwata (J-League Dua), Thespa Gunma dan Gainare Tottori (J-League Tiga).
“Kami bercadang untuk meminjam pemain daripada kelab-kelab ini dan telah meminta mereka menghantar senarai pemain yang boleh dipinjam,” kongsinya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram