
PERTAHANAN kental Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee memberi bayangan seolah-olah bakal meninggalkan pasukan Lembah Klang itu pada penghujung musim ini.
Spekulasi tersebut timbul selepas pemain yang lebih dikenali sebagai Jimmy itu memuat naik satu hantaran di Insta Story miliknya.
Hantaran tersebut hanya memaparkan emoji berjabat tangan, yang menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong mengenai masa depannya.
BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Sabah, Saddil ada 2 destinasi pilihan termasuk kembali ke pangkuan OKS
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
Tangkap layar Insta Story Khuzaimi Piee.
Emoji tersebut dilihat sebagai isyarat mengenai kemungkinan perubahan besar dalam karier Khuzaimi, namun tiada penjelasan lanjut diberikan, menyebabkan tanda tanya terus menghantui penyokong Gergasi Merah.
Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini oleh pihak Khuzaimi mahupun Selangor FC, isyarat tersebut cukup untuk menimbulkan spekulasi bahawa Khuzaimi mungkin sedang bersedia untuk menamatkan kerjasama bersama Gergasi Merah.
Menurut laman Transfermarkt, kontrak Khuzaimi bersama Selangor FC akan tamat pada 31 Mei 2025, namun situasi semasa mungkin membuka ruang untuk perpindahan lebih awal atau rundingan baharu.
Sekiranya perpisahan itu benar-benar berlaku, dua pasukan yang dilihat berpotensi untuk mendapatkan khidmat Khuzaimi ialah Negeri Sembilan FC dan Melaka United.
Dua tersebut bukanlah asing buat pemain berusia 31 tahun ini, kerana dia pernah menyarung jersi kedua-dua pasukan sebelum menyertai Selangor FC.
Ketinggian dan pengalaman yang dimiliki oleh pemain kelahiran Melaka ini sudah pastinya menjadikan dia aset berharga buat mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram