Terengganu jangan malu panggil semula Nafuzi atau Hai-O demi perbaiki musim hambar


  • Podium
  • Isnin, 20 Okt 2025

Skuad Sang Penyu terpaksa berputih mata selepas tewas 1-4 di tangan Kuching City pada aksi suku akhir pertama Piala FA pada Sabtu. — Facebook/TFC

TERENGGANU FC (TFC) berdepan misi sukar dalam aksi timbal balik suku akhir Piala FA 2025/26 apabila perlu menjaringkan sekurang-kurangnya empat gol untuk melangkah ke separuh akhir selepas tewas 1-4 kepada Kuching City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Kekalahan di laman sendiri itu menyaksikan skuad bimbingan Badrul Afzan Razali kini perlu bangkit luar biasa dalam aksi kedua di Stadium Negeri, Kuching pada 28 Oktober nanti sekiranya mahu menghidupkan peluang ke separuh akhir.

Walaupun bermula garang dalam kempen Liga Super musim ini, prestasi Sang Penyu kini kian merosot khususnya di bahagian pertahanan yang dilihat terlalu mudah dibolosi lawan.

BACA LAGI: Kongsi foto atas padang, 2 pemain warisan optimis kembali beraksi secepat mungkin

BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi

Pengendali TFC, Badrul Afzan Razali. Facebook/TFC

Setakat ini, Badrul masih gagal menemukan formula ampuh untuk menutup kelemahan ketara di benteng TFC yang sering hilang fokus dan gagal membaca pergerakan lawan.

Situasi itu jelas ketara dalam dua perlawanan besar iaitu ketika tewas 1-5 kepada Selangor FC dalam Liga Super pada 27 Ogos lalu dan kekalahan 1-4 kepada Kuching City baru-baru ini menjadikan jumlah keseluruhan sembilan gol dibolosi hanya dalam dua perlawanan.

Statistik itu nyata membimbangkan buat kem Sang Penyu, lebih-lebih lagi apabila mereka bakal berdepan dua perlawanan penting berturut-turut menentang Kuching City pada aksi timbal balik nanti dan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 31 Oktober nanti saingan Liga Super.

Tanpa perubahan ketara di posisi pertahanan, tidak mustahil TFC bakal menjadi ‘lauk’ kepada kedua-dua pasukan tersebut.

Kekecewaan penyokong terhadap prestasi semasa TFC turut mencetuskan desakan agar pengendali baharu dilantik bagi memperbaiki prestasi pasukan.

Antara nama yang kini disebut-sebut menggantikan Badrul ialah dua bekas figura kebanggaan Pantai Timur iaitu Nafuzi Zain dan Hairuddin Omar.

Nafuzi Zain kini membimbing skuad B-23 Tahun Kebangsaan. Facebook/Malaysia NT

Nafuzi bukanlah nama asing buat penyokong Terengganu kerana sebelum ini dia pernah membimbing skuad itu sejak 2017 sebagai pembantu jurulatih sebelum dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih pada 2019.

Di bawah bimbingannya, TFC tampil sebagai antara pasukan paling konsisten dalam Liga Super, termasuk melakar sejarah menewaskan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menerusi jaringan tunggal Hakimi Abdullah pada musim 2021.

Lebih manis, pengendali kelahiran Kelantan itu turut membawa TFC muncul naib juara Liga Super 2022, sekali gus layak ke Piala AFC selepas 11 tahun menunggu.

Namun, jodoh Nafuzi bersama Sang Penyu berakhir pada penghujung 2022 sebelum dia berhijrah ke Kedah Darul Aman FC dan kini dilantik sebagai Ketua Jurulatih skuad Bawah 23 Tahun (B-23) kebangsaan.

Pemergiannya dari kelab Pantai Timur itu juga terpalit dengan sedikit kontroversi apabila salah faham antaranya dan pihak pengurusan menyaksikan terdapat percakaran berlaku yang pasti menyukarkan kepulangannya dalam masa terdekat.

Hai O sebelum ini pernah menabur bakti bersama TFC II. Facebook/Malaysia NT

Satu lagi calon yang mendapat sokongan penyokong ialah Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai O.

Bekas penyerang kebangsaan itu pernah membimbing TFC II untuk menjuarai Piala MFL 2023, menewaskan JDT II hasil jaringan tunggal Isa Rahman.

Berpengalaman luas dalam kejurulatihan sejak 2017, Hairuddin turut pernah menjadi pembantu jurulatih skuad B-19 kebangsaan di bawah Bojan Hodak sebelum menyertai TFC sebagai penolong jurulatih utama pada 2022.

Kedua-dua nama berkenaan mempunyai kelebihan masing-masing dan dianggap antara calon paling layak sekiranya pengurusan TFC memutuskan untuk melakukan rombakan dalam masa terdekat.

Buat masa ini, semua mata tertumpu kepada Badrul Afzan untuk melihat sama ada dia mampu memperbaiki kelemahan pasukan sebelum Sang Penyu berkunjung ke Kuching hujung bulan ini, satu misi hidup mati yang bakal menentukan masa depan TFC dalam Piala FA musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram