
SEORANG wanita warga emas yang pernah tular pada 2019 selepas mengalami detik ngeri ketika misi menyelamat menggunakan helikopter, akhirnya menerima pampasan sebanyak AS$450,000 (kira-kira RM2.1 juta) daripada pihak berkuasa Bandar Phoenix.
Mangsa, Katalin Metro yang ketika itu berusia 74 tahun, dilaporkan mengalami kecederaan semasa mendaki Puncak Piestewa di Arizona sebelum diselamatkan oleh pasukan kecemasan udara Jabatan Bomba Phoenix.
Walaupun berada dalam keadaan sedar dan merayu agar tidak diangkat menggunakan helikopter namun penyelamatan tetap diteruskan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu 4X4 maut dihempap pokok tumbang di Batang Kali
Namun, sejurus selepas diterbangkan, bakul penyelamat (stretcher) yang membawanya mula berpusing tanpa kawalan di udara, satu detik mencemaskan yang sempat dirakam dan kemudiannya tular di seluruh dunia.
Siasatan mendapati tali kawalan (control rope) yang berfungsi menstabilkan bakul tersebut telah terputus menyebabkan ia berpusing ratusan kali ketika helikopter berada ratusan kaki di udara.
Akibat kejadian itu, Metro mengalami kecederaan serius termasuk pembengkakan dan lebam pada kedua-dua mata, pendarahan di saluran telinga luar, serta bengkak tisu lembut di beberapa bahagian tengkorak.
Metro juga dilaporkan mengalami pening teruk dan trauma berpanjangan akibat pengalaman tersebut.
Insiden itu mencetuskan perdebatan mengenai prosedur keselamatan operasi penyelamatan udara Jabatan Bomba Phoenix dan dijadikan contoh penting dalam latihan penyelamat untuk mengelakkan kejadian sama berulang.
Selepas beberapa tahun, Metro memfailkan saman terhadap Bandar Phoenix atas dakwaan kegagalan memastikan keselamatan dalam operasi penyelamatan.
Kes tersebut akhirnya diselesaikan di luar mahkamah dengan jumlah pampasan sebanyak AS$450,000 dibayar kepadanya.
Rakaman penyelamatan dramatik itu kini dikenang sebagai antara yang paling luar biasa dalam sejarah operasi kecemasan dan terus digunakan sebagai bahan pengajaran dalam latihan pasukan penyelamat di seluruh dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram