
PERSATUAN Bola Sepak Melayu Malaysia (PBMM) mengambil tindakan tegas berhubung dua insiden pergaduhan yang tercetus dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2025 pada 12 Oktober lalu, lapor Buletin TV3.
Setiausaha Agung PBMM, Nazeri Hussain berkata, mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Keselamatan telah diadakan pada 14 Oktober bagi meneliti laporan rasmi dua perlawanan terbabit antara Selangor menentang Kelantan dan Perak berdepan Bomba FC.
Hasil siasatan mendapati, jurulatih penjaga gol Kelantan, Wan Kamaluzaman Mohammed digantung serta-merta selepas didapati menumbuk pemain lawan dalam perlawanan menentang Selangor.
BACA LAGI: Terengganu jangan malu panggil semula Nafuzi atau Hai-O demi perbaiki musim hambar
“PBMM melalui Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin dan Keselamatan yang bersidang pada 14 Oktober 2025 telah meneliti laporan rasmi perlawanan.
“Perlawanan D5 antara Selangor menentang Kelantan menyaksikan kedua-dua pasukan diberikan amaran.
“Jurulatih penjaga gol Kelantan, Wan Kamaluzaman Mohammed, digantung daripada menyertai sebarang pertandingan anjuran PBMM bagi musim 2025/2026,” katanya.
Sementara itu, perlawanan B5 antara Perak dan Bomba FC turut menyaksikan insiden pergaduhan serta penonton memasuki padang menyebabkan aksi dihentikan pada minit ke-87.
"Perlawanan B5 antara Perak dan Bomba FC menyaksikan kedua-dua pasukan diberikan amaran keras berikutan insiden pergaduhan dan penonton memasuki padang.
“Jawatankuasa memutuskan untuk memberikan kemenangan 1-0 kepada Bomba FC, yang ketika itu sedang mendahului perlawanan sebelum ia dihentikan,” jelas Nazeri.
Beliau menegaskan, PBMM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, provokasi, atau tingkah laku tidak bersemangat kesukanan sepanjang kejohanan berlangsung.
“Semua pasukan diingatkan agar sentiasa mematuhi peraturan serta menjunjung semangat kesukanan dan disiplin sepanjang PERR 2025 berlangsung,” katanya.
Sebelum ini, dua rakaman video pergaduhan membabitkan kedua-dua perlawanan berkenaan tular di media sosial, memaparkan adegan tolak-menolak dan tumbuk-menumbuk antara pemain, manakala pegawai pasukan dilihat cuba menenangkan keadaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram