[VIDEO] 'Isteri kena tegur, kenapa suami mengamuk buka baju?', pengunjung patut lebih terbuka terima teguran pengawal di Masjid Selat


  • Kes
  • Rabu, 22 Okt 2025

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bertindak agresif dan bertumbuk dengan pengawal keselamatan selepas isterinya ditegur kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

SUASANA di Masjid Selat, Melaka bertukar kecoh apabila seorang lelaki bertindak agresif dan bertumbuk dengan pengawal keselamatan selepas isterinya ditegur kerana berpakaian tidak menutup aurat dengan sempurna.

Menerusi sebuah video yang tular di media sosial sejak Selasa, kelihatan berlaku pergelutan fizikal antara lelaki terbabit dan pengawal keselamatan masjid yang dikatakan cuba menegur secara berhemah.

Difahamkan, isteri kepada lelaki berkenaan memakai seluar paras lutut dan berpakaian tidak sesuai ketika berada di kawasan masjid.

BACA LAGI: [VIDEO] Alami detik ngeri ketika misi menyelamat, pendaki wanita terima pampasan RM2.1 juta

BACA LAGI: [VIDEO] Difahamkan kenal mangsa, 2 lelaki termasuk warga Bangladesh direman kes bunuh dua beranak di Juru

Menurut perkongsian di laman Threads milik nursophea_chu, pengawal keselamatan yang bertugas sekadar menjalankan tanggungjawab dengan menasihati pasangan itu agar mematuhi etika berpakaian di tempat ibadat namun teguran tersebut mencetuskan kemarahan si suami.

“Menurut saksi, pak guard hanya menjalankan tugas dengan menasihati pasangan itu agar berpakaian sopan sebelum memasuki kawasan masjid, namun teguran itu tidak diterima baik oleh si suami yang kemudiannya mengamuk,” katanya.

Insiden itu turut mengundang pelbagai reaksi warga maya yang rata-rata menyokong tindakan pengawal keselamatan yang menjalankan tugas menjaga kesucian masjid, memandangkan ia adalah tempat ibadah yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Namun, tindakan lelaki itu membuka bajunya ketika mengamuk turut menimbulkan tanda tanya dan menjadi bahan sindiran warga maya.

“Kenapa kena buka baju? Macam nak tunjuk dia kuat, tapi nampak macam gangster pula,” kata @alex.weslyyyy.

“Terbaik abang sekuriti, memang patut kena tegur. Benda betul,” kata @korokroroks pula.

“Masuk masjid kenalah hormat. Pelancong pun boleh ikut SOP,” tambah @_deffiena.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, perselisihan faham hingga tercetus pergaduhan antara seorang peniaga dan pengawal keselamatan di Masjid Selat Melaka berpunca daripada isu pemakaian tudung oleh isteri individu terbabit.

Dalam satu kenyataan pada Rabu, lelaki berusia 47 tahun dari Kuala Lumpur datang ke masjid tersebut bersama isterinya untuk menunaikan solat Zohor sebelum berlaku pertengkaran dengan pengawal keselamatan yang didakwa tidak membenarkan mereka memasuki kawasan masjid.

Katanya, laporan polis yang dibuat oleh pengadu memaklumkan bahawa pengawal keselamatan berkenaan menegur pasangan itu kerana wanita berkenaan tidak memakai tudung, namun pengadu mendakwa isterinya telah menutup kepala menggunakan sweater.

Bagaimanapun, pengadu kemudiannya menarik semula laporan dan bersetuju menyelesaikan perkara itu secara baik dan kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram