Tiada lagi nikmat diskaun saman, JPJ dan PDRM perkenal konsep ‘bayar awal lebih murah’


  • Massa
  • Rabu, 22 Okt 2025

Diskaun saman melalui kempen khas akan digantikan dengan prinsip 'The Less You Delay, The Less You Pay' bermula 1 Januari 2026. — Gambar hiasan

JEMAAH Menteri telah memutuskan untuk menyelaraskan kadar dan kaedah pelaksanaan kompaun saman trafik antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan keseragaman penguatkuasaan undang-undang jalan raya di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada Jumaat lalu dengan pelaksanaan penuh akan bermula pada 1 Januari 2026.

Menurut beliau, pemberian diskaun saman menerusi program atau kempen khas akan digantikan dengan prinsip baharu dikenali sebagai 'The Less You Delay, The Less You Pay'.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Isteri kena tegur, kenapa suami mengamuk buka baju?', pengunjung patut lebih terbuka terima teguran pengawal di Masjid Selat

BACA LAGI: [VIDEO] Alami detik ngeri ketika misi menyelamat, pendaki wanita terima pampasan RM2.1 juta

“Pendekatan terdahulu dilihat tidak adil kepada individu yang bertanggungjawab dan menjelaskan saman mereka lebih awal. Dengan sistem baharu ini, kadar kompaun akan ditentukan berdasarkan tempoh pembayaran,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Rabu.

Pendekatan itu juga bertujuan memberi insentif kepada pesalah trafik untuk menyelesaikan saman dengan segera, sekali gus meningkatkan tahap pematuhan undang-undang.

Struktur kompaun baharu menetapkan bahawa bayaran saman yang dijelaskan dalam tempoh 1 hingga 15 hari akan menerima pengurangan sebanyak 50 peratus, manakala bayaran dalam tempoh 16 hingga 30 hari layak mendapat pengurangan sebanyak 33 peratus.

Bagi bayaran antara 31 hingga 60 hari, kadar kompaun penuh akan dikenakan tanpa sebarang diskaun.

Sekiranya saman tidak diselesaikan selepas 60 hari, tindakan mahkamah atau senarai hitam akan dikenakan terhadap pesalah.

Dalam tempoh peralihan sebelum pelaksanaan sepenuhnya, orang ramai boleh memanfaatkan tawaran pengurangan saman antara 50 peratus hingga 70 peratus bagi saman PDRM dan JPJ yang layak dikompaun bermula 1 November hingga 30 Disember 2025.

Pengumuman itu turut dikongsikan oleh pemerhati automotif negara, Hezeri Samsuri yang menyambut baik langkah kerajaan menyelaraskan sistem kompaun antara dua agensi penguatkuasaan itu.

“Kerajaan akhirnya akur, tiada lagi kempen diskaun saman selepas ini. Saman antara JPJ dan PDRM akan diseragamkan bermula 2026 dengan konsep bayar awal, bayar kurang.

"Prinsip ‘The Less You Delay, The Less You Pay’ akan diguna pakai sepenuhnya bermula tahun depan,” katanya di laman X pada Rabu.

Begitupun, sistem tersebut tidak terpakai kepada kesalahan trafik serius seperti memandu tanpa insurans atau menggunakan dokumen palsu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram