DUA lelaki termasuk seorang warga Bangladesh direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan kejam dua beranak di Kampung Sekolah, Juru dekat Seberang Perai, Pulau Pinang pada Sabtu yang menggemparkan negara baru-baru ini, lapor Buletin TV3.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, perintah tahanan reman terhadap kedua-dua suspek berusia 45 dan 46 tahun itu bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan di dua lokasi berasingan hasil siasatan polis berhubung kejadian tragik yang menimpa Sariya Che Hin, 51, dan anak perempuannya, Nur Afrina Alisha Abdul Rahim, 11 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Kes bunuh 2 beranak di Juru: Motif pembunuhan masih belum jelas — Polis
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu 4X4 maut dihempap pokok tumbang di Batang Kali
Difahamkan, kedua-dua suspek yang ditahan mengenali mangsa dan telefon pintar mereka turut dirampas bagi membantu siasatan.
“Polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh daripada semua aspek bagi mengenal pasti motif sebenar pembunuhan kejam ini,” katanya.
Beliau berkata, walaupun motif pembunuhan masih belum jelas, semua bahan bukti yang diperoleh termasuk senjata yang digunakan akan diteliti bagi membantu siasatan.
Siasatan awal mendapati sebilah pisau ditemukan di kawasan semak berhampiran lokasi kejadian pada malam insiden berkenaan.
Sementara itu, suami mangsa berusia 57 tahun turut direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 25 Oktober ini bagi membantu siasatan.
Menurut laporan, mayat Sariya Che Hin ditemukan di bahagian dapur tingkat bawah dalam keadaan kepala hampir putus, manakala mayat anak perempuannya, Nur Afrina Alisha ditemui meniarap berlumuran darah di tingkat atas rumah.
Laporan bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa disebabkan tetakan di bahagian belakang leher menggunakan senjata tajam dipercayai pisau pemotong daging. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
