Indra Putra ada sebab pilih pertembungan TFC-Kuching City aksi tumpuan Piala FA


  • Podium
  • Khamis, 16 Okt 2025

Terengganu dan Kuching City belum bertemu dalam Liga Super setakat ini.

MINGGU suku akhir Piala FA akan tiba pada Sabtu dengan pelbagai aksi menarik disajikan dalam usaha lapan kelab untuk ke separuh akhir.

Bagi legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin, dia memilih aksi antara Terengganu FC dengan Kuching City sebagai perlawanan tumpuan atau tie of the round.

Menurutnya, faktor kedudukan liga dan prestasi semasa kedua-dua kelab pastinya akan menjadikan aksi tersebut sengit. 

BACA LAGI: Ampuh di laman sendiri, 'kereta kebal' TFC mahu kekalkan prestasi jumpa The Cats

BACA LAGI: Bukan saja ampuh, ‘kereta kebal’ JDT-TFC-Selangor terbukti cukup tajam depan pintu gol musim ini

Indra (paling kanan) bersama tiga pemain Selangor FC sebagai wajah baharu Skechers Football.

"Saya tertarik dengan aksi antara Terengganu dengan Kuching City kerana kita dapat lihat kualiti antara kedua-dua kelab di suku akhir Piala FA.

"Hal ini kerana, kita tengok dari kedudukan liga antara kedua-dua kelab dengan mereka menghuni posisi yang baik dan kita mahu saingan di suku akhir itu lebih menyerlah," kata Indra kepada Majoriti.

Ketika ini, Terengganu dan Kuching antara kelab yang sedang berebut slot ke Asia dalam Liga Super dengan skuad Penyu menduduki tempat ketiga sementara The Cats keempat.

Rekod semasa dalam lima perlawanan terakhir juga menyaksikan Terengganu menang tiga kali, kalah dua kali sementara Kuching menang tiga kali, seri sekali dan kalah sekali.

Aksi pada Sabtu akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak dengan tiga aksi suku akhir lain melibatkan Negeri Sembilan FC lawan Selangor FC, Penang FC lawan Johor Darul Ta'zim dan Kelantan The Real Warrirors bertemu Sabah FC.

Indra ditemui media ketika majlis memperkenalkan bekas pemain itu sebagai wajah baharu untuk Skechers Football di Kuala Lumpur.

Selain Indra, tiga pemain Selangor FC iaitu Sharul Nazeem, Aliff Haiqal dan Kevin Deeromram turut menjalin kerjasama dengan jenama kasut tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram