Awas Sang Penyu, 'taring baharu' Kuching City sedia gigit TFC di Gong Badak


  • Podium
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Mintah boleh jadi 'game changer' dalam aksi antara Terengganu dan Kuching City.

SKUAD Kuching City FC bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu untuk bertemu Terengganu FC pada Sabtu bagi aksi suku akhir pertama Piala FA.

Dianggap perlawanan tumpuan untuk pusingan itu, Kuching dianggap mampu mencipta kejutan sebagai kelab yang mempunyai skuad ampuh berdepan Terengganu.

Malah, mereka mempunyai senjata ampuh menerusi pemain naturalisasi baharu mereka yang boleh menggigit majikan lamanya iaitu Jordan Mintah.

BACA LAGI: Indra Putra ada sebab pilih pertembungan TFC-Kuching City aksi tumpuan Piala FA

BACA LAGI: Ampuh di laman sendiri, 'kereta kebal' TFC mahu kekalkan prestasi jumpa The Cats

Bintang naturalisasi baharu

Seperti yang semua sedia maklum, Mintah kini merupakan bintang naturalisasi baharu bagi skuad Harimau Malaya.

Pemain berusia 30 tahun itu sudah lebih lima tahun menetap di negara ini dan sudah menukar kerakyatan menjadi warganegara Malaysia.

Jordan Mintah dipanggil Peter Cklamovski untuk Harimau Malaya. — Malaysia NT

Malah, Mintah juga sudah dipanggil oleh Peter Cklamovski untuk skuad Harimau Malaya tempoh hari bagi kelayakan Piala Asia 2027 walaupun dia tidak diturunkan.

Situasi ini jelas memberikan kelebihan kepada Kuching kerana mereka mempunyai slot tambahan bagi pemain import apabila Mintah sudah dinaturalisasikan.

Menentang bekas majikan

Satu perkara yang menjadikan pertembungan antara kedua-dua kelab signifikan adalah kerana hubungan Mintah antara skuad Penyu dan The Cats.

Hal ini kerana, Mintah merupakan bekas penyerang Terengganu yang bersama kelab itu cukup lama sebelum berpindah ke Sarawak.

Mintah banyak menghabiskan kariernya bersama Terengganu. — Terengganu FC

Sepanjang bersama Terengganu, Mintah menunjukkan potensi sebagai penyerang berkualiti namun entah di mana silapnya, pemain itu tidak mencapai jangkaan yang diharapkan oleh penyokong kelab Pantai Timur itu.

Bertemu Terengganu, pastinya dia mempunyai sesuatu untuk dibuktikan kepada bekas majikannya, ia menjadikan perlawanan ini cukup 'pedas' dan menarik untuk disaksikan.

Bakal jadi senjata rahsia

Ketika ini, semua orang mungkin akan bercakap mengenai Ramadhan Saifullah sebagai senjata yang paling berbahaya bagi pihak lawan.

Namun begitu, Mintah juga tidak boleh diabaikan kualitinya walaupun musim ini impaknya kelihatan kecil dalam skuad Kuching.

Mintah ada senjata yang boleh kecewakan Terengganu. — Kuching City FC

Dalam Liga Super, Mintah sudah beraksi sebanyak empat kali dengan mencatatkan 139 minit permainan, ia menunjukkan pemain itu adalah sebagai super-sub oleh Aidil Sharin.

Dengan sudah mempunyai satu gol, kualiti Mintah tetap boleh mengancam Terengganu dan apabila diturunkan, pertahanan skuad Penyu harus waspada dengan kelibatnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram