Dilanda gelora prestasi tak konsisten, Indra Putra 'serahkan' nasib Selangor kepada pemain-pengurusan


  • Podium
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Indra berpendapat pemain dan pengurusan Selangor harus bertanggungjawab demi penyokong. — Selangor FC

PERJALANAN yang berliku melanda Selangor FC pada permulaan musim 2025/2026 dengan calon kuat meraih slot ke kejohanan Asia musim depan dilihat berdepan isu prestasi kurang konsisten.

Ditambah dengan mereka menukar jurulatih daripada Katsuhito Kinoshi kepada Christophe Gamel pada pertengahan musim, tidak hairan jika ada penyokong berasa resah dengan cabaran Selangor untuk terus mengejar kejuaraan.

Jika kapal tidak stabil, berkemungkinan Selangor akan terus tenggelam dek kerana kelab-kelab seperti Terengganu FC dan Kuching City FC semakin garang menonjolkan prestasi mereka.

BACA LAGI: Bukan saja ampuh, ‘kereta kebal’ JDT-TFC-Selangor terbukti cukup tajam depan pintu gol musim ini

BACA LAGI: Coach Kino-Gamel ada taktikal berbeza, kami perlu cepat 'adapt' — Afro

Prestasi semasa Faisal Halim dapat membantu Selangor kembali gagah selepas tidak konsisten. — Selangor FC

Bagi legenda bola sepak negara, Indra Putra Mahayuddin, dia berpendapat pemain dan pengurusan harus bertanggungjawab terhadap situasi tersebut.

Menurutnya, penyokong berhak mendapatkan skuad yang beraksi dengan baik dan menraih kemenangan saban minggu.

"Saya rasa, ia bergantung kepada pemain dan pengurusan sendiri kerana pemain dan yang bermain perlu keluar daripada perkara-perkara boleh ganggu fokus mereka.

"Untuk pemain, mereka perlu tunjukkan sesuatu kepada penyokong dengan mempamerkan persembahan yang baik," kata Indra kepada Majoriti.

Dalam masa yang sama, Indra mengatakan yang perubahan perlu dilakukan di Selangor supaya mereka tidak terus ketinggalan dengan kelab lain.

Dengan mereka akan bertemu Negeri Sembilan FC dalam suku akhir Piala FA pada Sabtu, ia adalah permulaan baik untuk Selangor mula bangkit.

"Sebelum ini Selangor sudah kalah dengan Negeri Sembilan dan kita dapat lihat ia adalah satu perlawanan yang menarik.

"Akan tetapi, kita mahukan perubahan yang cukup pada Selangor supaya ada saingan daripada mereka," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram