
PENYERANG Kuching City FC, Danial Asri memberikan bayangan jelas bahawa dia bersedia menjadi pilihan utama skuad The Cats selepas meledak dua gol dalam kemenangan bergaya 7-1 ke atas Brunei DPMM FC pada aksi timbal balik pusingan 16 Piala FA di Stadium Negeri Sarawak.
Pemain berusia 25 tahun kelahiran Rawang, Selangor itu pada mulanya dibawa masuk sebagai pelapis kepada barisan penyerang utama, namun Danial berjaya membuktikan bahawa dia bukan sekadar pengganti.
Dalam penampilan keduanya sebagai kesebelasan utama musim ini, Danial mempamerkan aksi penuh keyakinan dengan satu bantuan gol selain dua jaringan, sekali gus menamatkan kemarau prestasi selepas dua musim tenggelam di Selangor.
BACA LAGI: Gaji 8 bulan tak bayar, nak main macam mana? — Gopi
BACA LAGI: Terlalu harapkan Ifedayo boleh bawa risiko buat Kelantan TRW
“Kemenangan ini sangat bermakna kerana kami mula menemui rentak sebenar. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada jurulatih kami, Aidil Sharin Sahak kerana memberi kepercayaan dan peluang untuk saya buktikan kemampuan saya.
"Dua gol dan satu bantuan gol adalah permulaan yang baik, tetapi saya belum puas. Masih banyak lagi perlawanan dan saya mahu terus membantu Kuching City dalam semua kejohanan yang kami sertai," katanya.
Prestasi cemerlang Danial hadir tepat pada masanya ketika Kuching City sedang mencari kombinasi terbaik di jentera serangan.
“Saya juga harap penyokong bersabar dengan Gabriel Nistelrooy. Dia masih muda dan belum pernah bermain dalam Liga Super sebelum ini.
"Kami sedang bina semula keyakinannya perlahan-lahan dan saya gembira dengan cara dia berganding dalam serangan," kata Aidil Sharin.
Gabriel Nistelrooy ketika ini masih dalam proses menyesuaikan diri dan mencari rentak dalam skuad utama The Cats. — Facebook/kuchingcityfc
Barisan penyerang Kuching City ketika ini turut dibarisi oleh Ramadhan Saifullah, Zharmien Ashraf, penyerang Cameroon, Ronald Ngah, Ahmad Hazwan Bakri serta penyerang naturalisasi, Jordan Mintah.
Kemenangan besar itu menyaksikan Kuching City mara ke suku akhir dengan agregat 9-4 selepas tewas 2-3 pada aksi pertama.
Aidil Sharin turut memuji persembahan cemerlang dan semangat ditunjukkan anak-anak buahnya.
“Tahniah kepada semua pemain atas usaha mereka. Bezanya kali ini, mereka benar-benar faham apa yang perlu dilakukan, ikut perancangan dan sokongan padu penyokong turut memainkan peranan,” kata bekas pemain kebangsaan Singapura itu.
Kemenangan tersebut sekali gus menjadi bukti bahawa Kuching City kini bersedia untuk bersaing lebih jauh dalam saingan Piala FA musim ini. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram