Sudah jejak pentas Piala Dunia, pemain 7 negara masih belum pikat kelab EPL


  • Podium
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Saingan Piala Dunia sudah menyaksikan lambakan pemain reputasi tinggi mempamerkan bakat masing-masing.

PIALA Dunia 2026 bakal berwajah baharu apabila beberapa negara akan menyertai pertandingan itu buat kali pertama dalam sejarah masing-masing seperti Cape Verde dan Uzbekistan.

Penyertaan tersebut akan memberi kemeriahan berbeza buat peminat bola sepak antarabangsa yang tidak sabar menanti cabaran bakal dibawa setiap yang bertanding.

Bagaimanapun, kehadiran pasukan baharu itu akan membawa sedikit kesukaran kerana terdapat antara mereka yang tidak mempunyai pemain ternama dan hanya layak kerana memiliki keazaman dalam mengharumkan nama negara sendiri.

BACA LAGI: Bintang EPL terpaksa tutup ruangan komen lepas Garuda gagal ke Piala Dunia

BACA LAGI: Indonesia selangkah gagal ke Piala Dunia, tidak hormati STY dianggap ‘karma’ fans Sang Garuda

Malah, ada daripada negara tersebut yang tidak pernah mempunyai pemain beraksi di liga paling terkenal iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak ia diperkenalkan pada 1992.

Walaupun ia bukanlah satu kewajipan untuk beraksi dalam pertandingan itu, ketiadaan wakil di pentas terbabit menceritakan kualiti pemain yang masih belum mencuri perhatian kelab-kelab bertanding.

Berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut merupakan tujuh negara yang pernah layak ke Piala Dunia, namun tidak seorang pun pemain mempunyai pengalaman dalam EPL setakat ini.

1. Korea Utara

Meskipun tidak mempunyai akses bebas dengan masyarakat luar, Korea Utara sebenarnya pernah beraksi di Piala Dunia sebanyak dua kali, iaitu pada 1966 di England dan pada edisi 2010 di Afrika Selatan.

Ia merupakan pencapaian cukup bermakna buat negara Asia Timur itu kerana pemain hanya berbekalkan keazaman kerana sukar menerima pendedahan di liga asing, lebih-lebih lagi dalam saingan EPL.

Import terbaik dari negara berkenaan merupakan Han Kwang-song yang pernah menyertai gergasi bola sepak Itali, Juventus pada 2020, namun hanya diletakkan dalam skuad simpanan.

Korea Utara membuktikan keazaman dengan melayakkan diri ke Piala Dunia sebanyak dua kali. Agensi

Pendedahan terhad itu menceritakan betapa hebatnya Korea Utara dalam membangunkan sukan itu sehingga mampu melayakkan diri ke Piala Dunia sebanyak dua kali.

Bagaimanapun, kedua-dua penyertaan berkenaan tidak membawa sebarang kenangan manis apabila satu-satunya kemenangan direkodkan adalah ketika menundukkan Itali pada edisi 1966.

Pada penganjuran kira-kira 15 tahun lalu, Korea Utara menamatkan saingan di kedudukan terakhir Kumpulan G selepas gagal meraih sebarang mata dengan tiga kekalahan berturut-turut.

2. Arab Saudi

Arab Saudi bakal mewarnai arena Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut dengan harapan kempen kali ini mampu memberikan pencapaian lebih baik selepas enam edisi.

Namun, seperti mana dialami sebelum ini, negara Timur Tengah berkenaan berdepan kesukaran untuk memberi saingan dari segi kualiti pemain yang belum menembusi pasaran Eropah.

Berdasarkan semakan, tiada bintang Arab Saudi pernah menyertai kelab-kelab EPL serta Eropah kerana masing-masing lebih selesa mempamerkan diri di negara sendiri.

Kualiti pemain Arab Saudi belum cukup untuk membantu mereka menembusi pasaran EPL. Agensi

Melihat kepada skuad ketika ini, hanya Marwan Al-Sahafi (Royal Antwerp-Belgium) dan Saud Abdulhamid (Lens-Perancis) yang beraksi di Eropah sementara baki daripadanya kekal mewarnai saingan Liga Pro Arab Saudi.

Ini boleh memberi cabaran buat mereka memperbaharui rekod sendiri dalam Piala Dunia apabila mereka melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik pada edisi 1994.

Sejak itu, wakil Timur Tengah tersebut hanya tersangkut di peringkat kumpulan, termasuk pada Piala Dunia 2022 walaupun membuka kempen dengan kemenangan mengejut ke atas Argentina.

3. Jordan

Selepas bertahun-tahun mencuba, Jordan akhirnya menempah slot ke Piala Dunia buat kali pertama setelah menampilkan aksi cemerlang sepanjang kempen kelayakan.

Pencapaian tersebut adalah sesuatu yang mengejutkan kerana negara Timur Tengah itu tidak mempunyai pemain berprofil tinggi, apatah lagi di pentas EPL.

Jordan mempunyai pemain yang pernah dan sedang beraksi dalam Liga Malaysia. Agensi

Malah, dalam pasukan Jordan ketika ini, Mousa Tamari yang beraksi sebagai penyerang sayap merupakan satu-satunya pemain beraksi di Eropah bersama Stade Rennais di Perancis.

Kesukaran menembusi pasaran EPL bukanlah hendak mengecilkan kualiti negara berkenaan, namun kejayaan menempatkan diri dalam liga terbaik mampu menaikkan lagi nilai skuad.

Tetapi, kejayaan Jordan ke Piala Dunia masih perlu diraikan peminat bola sepak tanah air kerana beberapa pemain mereka pernah beraksi dalam Liga Malaysia, termasuk Noor Al-Rawabdeh dan Muhammad Abualnadi yang kini bersama Selangor FC.

4. Panama

Pasukan di Kepulauan Carribean, Panama mencipta kejutan pada edisi Piala Dunia 2018 selepas melayakkan diri buat kali pertama dalam sejarah negara.

Ini kerana pasukan berkenaan tidak dibarisi pemain terkenal dengan reputasi cemerlang di Eropah memandangkan masing-masing lebih selesa kekal di Amerika Utara mahupun Selatan.

Panama mengejutkan arena bola sepak antarabangsa selepas layak ke Piala Dunia 2018. Agensi

Keputusan sedemikian menyaksikan tiada seorang pun bintang Panama pernah menyertai kelab EPL yang mengumpulkan pemain terbaik tanpa mengira latar belakang.

Penantian itu boleh berakhir tidak lama lagi memandangkan bek tengah, Jose Cordoba kini beraksi dalam liga kedua England buat Norwich City, sekali gus membuka peluangnya menjadi import pertama Panama di EPL.

Meskipun kehadirannya tidaklah menjanjikan kelayakan negara itu ke Piala Dunia pada masa akan datang, ia akan sedikit sebanyak meningkatkan mutu dan kualiti pemain.

5. El Salvador

Sebuah lagi pasukan kerdil di Kepulauan Carribean yang pernah menempatkan diri dalam pertandingan megah itu merupakan El Salvador iaitu pada edisi 1970 dan 1982.

Penyertaan itu bagaimanapun hanya berakhir dengan kekecewaan kerana tiada sebarang mata pernah dikumpul daripada enam perlawanan yang turut menceritakan kualiti pasukan.

El Salvador perlu menghantar lebih ramai pemain ke Eropah demi pendedahan. Agensi

Kegagalan terbabit turut mencerminkan kualiti pemain secara ringkas memandangkan masing-masing sukar menempatkan diri dalam mana-mana kelab sekitar Eropah.

Melihat kepada skuad terkini, hanya tiga daripadanya beraksi di Eropah sementara majoriti yang lain lebih selesa beraksi di liga domestik dan pasukan sekitar Amerika Utara dan Selatan.

Sekiranya hal itu berterusan, harapan peminat di El Salvador untuk menyaksikan pemainnya beraksi di EPL sukar untuk direalisasikan, apatah lagi jika mahu ke Piala Dunia.

6. Qatar

Juara bertahan Piala Asia, Qatar akan berentap di Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut selepas layak pada edisi lalu sebagai tuan rumah kejohanan.

Peluang lebih cerah buat negara Timur Tengah itu untuk menikmati kempen lebih baik berbanding sebelum ini memandangkan rata-rata pemain kelihatan semakin berkualiti.

Bagaimanapun, peningkatan terbabit tidak menceritakan bahawa mereka sudah bersedia untuk menembusi pasaran Eropah, lebih-lebih lagi jika mahu menyertai kelab EPL.

Qatar mahu menampilkan persembahan lebih baik pada edisi Piala Dunia akan datang. Agensi

Malah, dalam senarai skuad terbaru, semua pemain hanya beraksi dalam liga domestik termasuk bintang utama pasukan, Akram Afif yang kini bersama Al-Sadd.

Sekiranya tiada bintang pasukan mempunyai pengalaman di Eropah, Qatar akan berdepan cabaran untuk memberi persembahan terbaik pada Piala Dunia tidak lama lagi.

Namun, persepsi awal itu boleh dilenyapkan sekiranya pasukan terbabit mampu menampilkan persembahan konsisten seperti mana ditonjolkan ketika kejayaan Piala Asia awal tahun lalu.

7. Kuwait

Satu-satunya pengalaman Kuwait di pentas Piala Dunia adalah pada temasya 1982 di Sepanyol yang menyaksikan negara Timur Tengah itu meraih mata tunggal hasil keputusan seri berdepan Czechslovakia di peringkat kumpulan pertama.

Sejak itu, pasukan tersebut semakin sukar untuk memberi saingan pada setiap kempen kelayakan, termasuk pada edisi kali ini selepas harapan untuk menempatkan diri sudah berakhir.

Penampilan tunggal Kuwait di pentas Piala Dunia direkodkan pada 1982 di Sepanyol. Agensi

Antara punca di sebalik isu terbabit adalah kerana negara berkenaan tidak mempunyai barisan pemain berkualiti dengan pengalaman luas di Eropah, apatah lagi EPL.

Malah, ketika ini, satu-satunya pemain kebangsaan Kuwait yang bukan beraksi dalam liga sendiri merupakan Hassan Al-Enezi yang kini bersama Al-Ahli di Jordan.

Kualiti skuad secara keseluruhan sekali gus menyukarkan hasrat negara Timur Tengah itu untuk ke Piala Dunia pada edisi akan datang dengan satu-satunya cara adalah untuk melebarkan sayap permainan ke liga lebih kompetitif. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram