
MANCHESTER United mencatatkan kemenangan meyakinkan 2-0 ke atas Sunderland dalam aksi di laman sendiri pada Sabtu yang meletakkan mereka ke kelompok 10 teratas Liga Perdana Inggeris (EPL).
Perlawanan itu dimulakan dengan meyakinkan buat skuad The Red Devils selepas Mason Mount meledak seawal minit kelapan permainan yang menceriakan puluhan ribu peminat di Stadium Old Trafford.
Kelebihan tuan rumah digandakan pada minit ke-31 apabila penyerang antarabangsa Slovenia, Benjamin Sesko menanduk masuk lontaran jauh Diogo Dalot.
BACA LAGI: The Special One-Solskjaer antara pengurus paling mahal Man United bayar, Amorim bakal ikut jejak?
BACA LAGI: Ruben Amorim hampir pasti dipecat Man United, 2 pengurus EPL berkaliber jadi calon pengganti
Kemenangan ke atas Sunderland memberi ruang untuk Manchester United kembali bernafas. — Agensi
Dua gol itu memberi ruang buat Manchester United menguasai permainan sebelum mencatatkan kemenangan ketiga EPL 2025/26 dengan mereka kini berada di tangga kesembilan.
Bagaimanapun, pengurus The Red Devils, Ruben Amorim tidak begitu teruja akan keputusan itu kerana ia tidak menjanjikan momentum buat pasukannya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan selepas ditanya sama ada jendela FIFA selepas ini akan mengganggu rentak cuba diperoleh Manchester United susulan kemenangan berkenaan.
"Pasukan ini tidak mempunyai sebarang momentum sekali pun ada aksi antarabangsa akan datang kerana kita semua tahu apa akan berlaku selepas meraih kemenangan.
"Anda semua boleh lihat bagaimana kita tidak beraksi dengan baik pada separuh masa kedua, tetapi kami kekal fokus dan berusaha mendapatkan semula penguasaan bola dengan segera," katanya.
Manchester United akan bertandang ke Anfield dalam aksi selepas jendela FIFA. — Agensi
Skuad The Red Devils belum mencatatkan kemenangan berturut-turut dalam liga sejak Amorim dilantik dengan kali terakhir ia berlaku adalah pada penghujung musim 2023/24.
Ini merupakan sesuatu yang merisaukan, lebih-lebih lagi kerana Manchester United akan berdepan cabaran hebat selepas ini apabila mereka akan bertandang ke Stadium Anfield untuk hadapi Liverpool pada 19 Oktober.
Amorim ketika ini sedang menghadapi tekanan hebat dari pihak pengurusan yang mahu menyaksikan prestasi buruk dialami Manchester United diselesaikan segera.
Namun, kemenangan ke atas Sunderland sudah tentu memberi sedikit kelegaan dan keyakinan buat pengurus berusia 40 tahun itu untuk terus kekal bersama pasukannya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram