Pucuk pangkalnya ibu bapa tapi Farizal yakin penglibatan sukan mampu bentuk sahsiah generasi muda


  • Podium
  • Sabtu, 18 Okt 2025

Masalah disiplin boleh dielakkan sekiranya sahsiah kanak-kanak dapat dibentuk.

MASALAH disiplin dalam kalangan murid hari ini semakin merisaukan apabila mereka semakin berani melakukan kesalahan sehingga ada yang sudah terkorban disebabkan hal berkenaan.

Bagi sesetengah pihak, penyelesaian terbaik adalah dengan mengembalikan hak kepada para pendidik untuk mengambil tindakan bagi membentuk sahsiah dan sebagai pengajaran kepada kanak-kanak.

Namun, terdapat pendekatan kurang proaktif boleh diambil ke atas murid iaitu dengan mendedahkan mereka terhadap kegiatan sihat di luar kelas, terutamanya bidang kokurikulum.

BACA LAGI: Pentingnya bina benteng iman, akhlak pelajar sebelum binasa dek salah laku moral, jenayah

BACA LAGI: Kabinet cadang 3 langkah termasuk larang pelajar bawah 16 tahun guna telefon pintar

Farizal berkongsi pandangan berhubung kesan penglibatan dalam bola sepak terhadap anak muda. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Pandangan berkenaan turut disokong bekas penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT) Farizal Marlias yang berpendapat penglibatan tersebut dapat membentuk disiplin seperti mana kerap ditekankan.

"Saya yakin kerana dalam sukan, kita lebih tegas dari segi perbuatan dan sebagainya. Jadi, saya mengharapkan perkara itu dapat dibawa ke sekolah dan di rumah. Tetapi, pokok pangkalnya masih terserah pada ibu bapa," katanya.

Bekas pemain kebangsaan tersebut berkata demikian ketika ditemui dalam program Ini Padang Kita Football Clinic di Hulu Langat, Selangor pada Sabtu.

Dalam program berkenaan, Farizal serta beberapa bekas pemain kebangsaan seperti Razman Roslan dan Nizaruddin Yusof memberi didikan awal terhadap pemain dalam Serama FA.

Tidak cukup dengan itu, program terbabit turut dimeriahkan bintang Kuala Lumpur (KL) Cty FC iaitu Giancarlo Gallifuoco, Haqimi Azim Rosli, Zhafri Yahya serta Hafizul Hakim yang masing-masing turut mencurahkan ilmu masing-masing.

Bekas pemain dan empat tonggak KL City FC memeriahkan program di Hulu Langat, Selangor.

Penglibatan itu sekali gus membakar semangat buat bakat muda di kawasan berkenaan untuk terus menanam cita-cita dalam menjadi antara pemain terbaik negara pada masa akan datang.

Farizal yang kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan turut menegaskan bahawa asas bola sepak amat penting memandangkan dia juga terlibat dalam memberi didikan berhubung skil penjaga gol kepada prospek muda.

"Kita cuma tidak mempunyai formula seperti mana dimiliki Jepun dan Korea Selatan. Saya juga melihat asas dari peringkat akar umbi itu adalah sangat penting," katanya.

Penjaga gol kelahiran Maran, Pahang itu boleh diangkat sebagai antara yang terbaik dalam posisinya selepas bertahun-tahun menabur bakti buat skuad Harimau Selatan.

Bagaimanapun, pada awal jendela perpindahan lalu, kontraknya tidak disambung selepas 10 tahun bagi memberi ruang buat pemain lain seperti Syihan Hazmi dan Christian Abad.

Pemergian pemain tersebut sememangnya memberi kesan memandangkan Farizal sudah bermusim-musim diangkat sebagai watak berpengaruh di dalam padang mahupun di bilik persalinan JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram