
KEJOHANAN Jemputan Tiga Penjuru yang membabitkan pasukan legenda dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang dijadualkan berlangsung pada 30 Ogos 2025 di Stadium Kaharuddin Nasution, Pekan Baru, Indonesia terpaksa dibatalkan atas faktor keselamatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh bekas kapten skuad kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak menerusi satu hantaran di laman Threads yang menyatakan bahawa pasukan bekas legenda tanah air tidak dapat meneruskan aksi dalam kejohanan tersebut.
"Ex Legend Malaysia tidak dapat meneruskan perlawanan di atas faktor keselamatan. Semoga ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.
BACA LAGI: Di antara Hong Wan-Ibrahim Manusi-Wan Kuzain, siapa lebih layak gantikan Hector Hevel?
BACA LAGI: 'Belum jumpa pintu gol', 3 import Liga Super masih buntu cetak jaringan pertama
"Walau apa pun yang berlaku, ucapan terima kasih buat tuan rumah (Riau, Indonesia) yang memberikan layanan dan menjaga kami dengan sangat baik," katanya.
Dalam pada itu, Zaquan turut menzahirkan harapan agar hubungan bola sepak antara Malaysia, Indonesia dan Singapura dapat diteruskan menerusi penganjuran kejohanan seumpama itu pada masa akan datang.
Pasukan legenda Malaysia turut dibarisi beberapa nama besar bola sepak tanah air termasuk Safiq Rahim, Farizal Marlias, Zaquan Adha, Razman Roslan, Indra Putra Mahayuddin, Asmawi Bakiri, Khalid Jamlus, Mahali Jasuli dan K. Gurusamy.
Pembatalan saat akhir itu nyata mengecewakan segelintir penyokong yang sudah menantikan pertembungan nostalgia membabitkan bintang legenda dari tiga negara serumpun.
Malah, ada dalam kalangan peminat mencadangkan agar kejohanan seumpama itu dianjurkan di Malaysia sebagai alternatif yang lebih selamat.
Susulan itu, nama Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor antara dipetik oleh penyokong tanah air untuk meneruskan aksi tersebut.
"Kenapa tak main dekat Malaysia saja, SSI kan ada,?" kata @incheizz.
"Mungkin boleh tukar venue, main dekat SSI, mesti ramai tengok," kata Afwan Azim.
"Kalau batal dekat Indonesia, boleh sudah cari alternatif lain main dekat Malaysia, main dekat SSI lebih baik," kata Mohd Ikhwan.
Walaupun Kejohanan Jemputan Tiga Penjuru di Riau terpaksa dibatalkan, semangat perpaduan antara Malaysia, Singapura dan Indonesia tetap utuh.
Wakil ketiga-tiga negara berkenaan sempat menzahirkan rasa syukur atas peluang untuk berkumpul dan mempererat hubungan serumpun, walaupun tanpa aksi di padang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram