
PEMAIN tengah Terengganu FC, Nurillo Tukhtasinov dianggap sebagai antara tonggak utama kecemerlangan pasukannya minggu ini dan dipilih oleh bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias untuk menghuni kesebelasan terbaik minggu ketujuh Liga Super (LS7), lapor MFL.
Aksi cemerlang pemain Uzbekistan itu memainkan peranan penting dalam kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kelantan The Real Warriors FC, sekali gus membantu Terengganu FC mengukuhkan kedudukan di tangga ketiga liga.
Menurut Farizal, Tukhtasinov sentiasa tampil konsisten apabila diberi peluang beraksi dan menunjukkan keupayaan tinggi dalam merencana serangan, selain bijak mencorakkan permainan untuk membuka ruang kepada rakan sepasukan menembusi benteng pertahanan lawan.
BACA LAGI: Proses beri kerakyatan ikut saluran betul, ada statut itu hal FIFA dan FAM — Saifuddin
“Bagi saya banyak kejutan juga yang berlaku pada minggu lalu di LS7 dengan aksi-aksi menarik dari setiap kelab.
“Tapi yang menarik perhatian saya adalah tonggak tengah TFC iaitu Nurillo yang setakat ini cemerlang perkuatkan jentera tengah kelab itu.
“Bahagian tengah pasukan sangat penting untuk menggerakkan permainan dengan lebih berkualiti, jadi Nurillo banyak membantu dalam setiap perlawanan, dan dia layak untuk dipilih pemain terbaik bagi minggu ini”, jelasnya.
Farizal merupakan wajah baharu dalam barisan pundit baharu Liga Super 2025/26.
Selain Nurillo, Farizal turut menyenaraikan pemain-pemain lain untuk BEST XI bagi LS7 dalam formasi 3-4-3 dengan meletakkan pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz sebagai ketua jurulatih pilihan.
Ahmad Syihan Hazmi pula diletakkan sebagai penjaga gol pilihan selepas aksi menakjubkan ketika berdepan PDRM FC tempoh hari dengan melakukan 'clean sheet' menyaksikan JDT menang 7-0.
Tiga pertahanan kebal, Eddy Israfilov (JDT) bersama-sama Yuki Tanigawa (Kuching City FC) di pertahanan tengah dan Shahrul Saad (JDT) pula dipilih untuk mengemudi benteng pasukan selepas masing-masing mempertaruhkan aksi memukau minggu lalu.
Di jentera tengah, selain Nurillo, tiga lagi pemain iaitu Arif Aiman (JDT), Yan Mabella (TFC) dan Tchetche Kipree (Penang FC) masing-masing dianggap cukup berkualiti untuk memacu bahagian tengah dalam melancarkan serangan.
Trio serangan pula menyaksikan Farizal meletakkan kepercayaan kepada Jairo da Silva (JDT), Bergson da Silva (JDT) yang memegang rekod Penjaring Terbanyak Sepanjang Zaman Liga Super selain Jordan Mintah (Kuching City) yang menjadi penjaring tunggal pasukan untuk beri kemenangan berharga kepada Kuching City.
Berakhir saingan LS7 tempoh hari menyaksikan JDT masih gah di takhta liga dengan 21 mata diikuti Kuala Lumpur City FC (16 mata) dan Terengganu FC di tangga ketiga (13 mata).
Saingan Liga Malaysia ketika ini berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan dan akan kembali bersambung pada 17 Oktober dengan aksi suku akhir Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram