[VIDEO] 'Tribute to Azraai', YB Baddrol umum berita gembira buat fans Hijau Kuning, saksikan 2 hero double treble


  • Podium
  • Jumaat, 03 Okt 2025

Skuad double treble Kedah dibintangi lambakan pemain terkenal dari dalam mahupun luar negara.

PENGANJURAN CT Global Legend yang bakal diadakan di Stadium Darul Aman, Kedah pada 10 Oktober depan sudah tentu akan menarik jumlah kehadiran penyokong memberangsangkan.

Ini kerana setakat Rabu lalu, sebanyak 5,012 tiket sudah terjual yang menceritakan kemeriahan dan kesungguhan peminat untuk menyaksikan bekas pemain kembali ke atas padang.

Perlawanan tersebut bakal menyaksikan pertembungan legenda bola sepak negara seperti Aidil Zafuan dan Farizal Marlias yang akan berdepan bekas pemain Kedah ketika era double treble.

BACA LAGI: Sebelum kehadiran Bergson, Liga Super pernah diwarnai 3 striker elit termasuk Marlon Alex James

BACA LAGI: Marlon Alex James antara 3 pencetak gol berbisa di bawah telunjuk Allahyarham Azraai Khor

Marlon (kiri) dan Huggins (dua dari kanan) merupakan antara ikon bola sepak Kedah yang diingati ke hari ini.

Nama-nama besar dijangka akan sekali lagi menyarung jersi Hijau Kuning dengan bintang lokal seperti Baddrol Bakhtiar, Victor Andrag serta Khairul Helmi Johari bakal beraksi.

Bagaimanapun, penyokong bola sepak Utara lebih tertarik akan kehadiran dua bekas tonggak Kedah FA, Marlon Alex James dan Cornelis Huggins yang sudah lama tidak terlibat dalam aksi persahabatan melibatkan legenda pasukan.

Kehadiran mereka diumumkan Baddrol menerusi sebuah video di laman media sosial peribadinya menampilkan kedua-dua mereka difahamkan sedang dalam perjalanan ke Stadium Darul Aman.

"Wahai penyokong Kedah, akhirnya kami sudah mendapatkan tiket. Jadi, jangan lagi tertanya-tanya sama ada kami akan tiba atau tidak kerana kami sah akan beraksi. Kami dijangka tiba pada Jumaat petang," kata Marlon.

Perkongsian Baddrol turut menunjukkan kedua-dua bekas pemain itu akan menuju ke London, England untuk transit sebelum meneruskan perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Huggins dan Marlon amat dikagumi penyokong Kedah kerana masing-masing merupakan tonggak utama dalam posisi tersendiri semasa kelab tersebut menjadi pasukan paling digeruni.

Kehadiran dua bintang tersebut sudah tentu mengubati rindu peminat kerana aura zaman kemuncak skuad Hijau Kuning akan dapat disaksikan walaupun beberapa figura kini tidak lagi bersama mereka.

"Sebelum perlawanan harapnya ada 'tribute' untuk arwah coach Azraai Khor," kata Mohd Asyraf Azizan.

"Mereka dua orang ini memang idola aku lah, Malon dan Huggins. Memang meletup satu ketika dahulu. Pasukan lain gerun untuk hadapi Kedah, semua kelab dalam negara jadi 'lauk makanan' Kedah," kata Abdul Kadir.

"Selamat datang kembali ke Stadium Darul Aman untuk kapten Huggins dan peledak berbisa Liga Super, Marlon Alex James," kata Zul Alisha. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram