
HASIL undian menarik dapat disaksikan dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two apabila wakil tunggal negara, Selangor FC diletakkan dalam Kumpulan G di samping tiga kelab Asia Tenggara lain.
Pasukan dimaksudkan ialah Bangkok United dari Thailand, Lion City Sailors yang berpangkalan di Singapura sementara pencabar dari Indonesia, Persib Bandung turut berada dalam kumpulan sama.
Harapan tinggi diletakkan penyokong Merah Kuning untuk menyaksikan kelab Lembah Klang itu melangkah ke pusingan kalah mati memandangkan jurang kualiti kelab Asia Tenggara tidaklah begitu besar.
BACA LAGI: Awas Selangor, Terengganu ada 'hikmah' tanpa tekanan saingan peringkat Asia musim ini
BACA LAGI: ACL Elite: Farizal Marlias optimis JDT mara lebih jauh kali ini
Skuad Gergasi Merah diletakkand dalam Kumpulan G ACL Two 2025/26 bersama tiga kelab Asia Tenggara lain. — Facebook/Selangor FC
Malah, ada yang berpandangan Selangor FC perlu meraih enam mata penuh dalam kedua-dua perlawanan menentang Persib Bandung kerana standard dimiliki pasukan itu tidaklah sehebat Lion City Sailors mahupun Bangkok United.
Penyokong tegar juga sudah tentu mengharapkan skuad Gergasi Merah dapat menundukkan anak-anak buah Bojan Hodak kerana pertembungan pasukan lokal dan Indonesia sememangnya dinanti-nantikan.
Namun, Selangor FC masih perlu peka dan waspada akan ancaman bakal dibawa kelab dari negara jiran itu memandangkan rekod terdahulu menyaksikan wakil Liga Super pernah ditundukkan pasukan dari sana dalam aksi kompetitif.
1. JDT vs Persija Jakarta (2018)
Standard Johor Darul Ta'zim (JDT) hari ini sememangnya jauh meninggalkan kelab sekitar Asia Tenggara kerana mereka sudah membuktikan kualiti setiap kali bersaing dalam ACL Elite.
Tetapi, lama sebelum menjadi kelab digeruni, skuad Harimau Selatan terlebih dahulu bergelut dalam saingan Piala AFC, termasuk ketika mereka berdepan Persija Jakarta.
Kedua-dua pasukan itu bertemu di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta pada 10 April 2018 dengan masing-masing memerlukan tiga mata penuh untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Skuad Harimau Selatan dimalukan Persija Jakarta dalam pertembungan di Indonesia. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Namun, Persija yang beraksi di laman sendiri memanfaatkan kelebihan tersebut apabila mudah merobek gawang JDT sebanyak empat kali dengan kesemua gol tersebut dijaringkan Marko Simic.
Kekalahan berkenaan menyaksikan skuad Harimau Selatan gagal menempah slot ke pusingan seterusnya selepas pihak lawan menamatkan saingan di tangga teratas sementara JDT hanya di kedudukan ketiga.
Menariknya, ia merupakan kali terakhir kelab Selatan tanah air itu berdepan kelab Indonesia di pentas Asia kerana mereka bersaing di peringkat ACL pada musim-musim kemudian.
2. Selangor vs Arema FC (2014)
Skuad Gergasi Merah juga tidak terkecuali daripada menjadi 'korban' kepada kelab Indonesia di Piala AFC selepas pasukan itu diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan Arema FC pada 2014.
Mereka diberikan slot ke pentas Asia setelah muncul naib juara Liga Super pada musim sebelumnya dengan harapan besar dipikul untuk memberi saingan lebih hebat.
Bagaimanapun, kualiti Selangor FC ketika itu jauh ketinggalan berbanding lawan dalam Kumpulan H, termasuk Arema FC yang berjaya menewaskan wakil negara itu ketika pertembungan di Indonesia.
Skuad Gergasi Merah juga pernah mengalami kekalahan ketika berdepan kelab Indonesia. — Agensi
Dalam perlawanan berlangsung pada 16 April 2014, jaringan tunggal daripada Gustavo Lopez memastikan tiga mata penuh dimiliki tuan rumah dengan kemenangan itu memastikan mereka layak ke peringkat kalah mati.
Walaupun skuad Gergasi Merah bangkit dalam perlawanan akhir, kekalahan kepada Arema FC itu menyaksikan mereka gagal berada dalam kelompok dua teratas, sekali gus memadam cita-cita untuk meneruskan kemaraan di pentas Asia.
Situasi sama sudah tentu mahu dielakkan kerana Selangor FC perlu membuktikan kepada penyokong akan kesungguhan pasukan untuk melangkah lebih jauh pada kempen kali ini.
3. Sabah vs PSM Makassar (2023)
Meskipun sudah lama tidak berentap di pentas Asia, Sabah FC masih berjaya membuktikan kebolehan dimiliki ketika bersaing dalam Piala AFC 2023 apabila berjaya melepasi peringkat kumpulan.
Namun, kempen skuad Sang Badak dalam edisi dua tahun lalu itu sedikit tercalar selepas mereka mengalami kekalahan ketika menerima kunjungan PSM Makassar di laman sendiri.
Mereka yang ketika itu sudah mengesahkan kemaraan tidak mengharapkan tiga mata penuh semasa menerima kunjungan kelab Indonesia itu, tetapi masih meletakkan kesebelasan utama terbaik.
Skuad Sang Badak mengalami kekalahan dalam aksi penutup kumpulan dalam Piala AFC 2023/24. — Agensi
Pendekatan tersebut tidak membuahkan hasil kerana gawang anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee dibolosi pada minit ke-16 hasil jaringan Yakob Sayuri sebelum gol sendiri Dominic Tan melebarkan defisit 20 minit kemudian.
Meskipun skuad Sang Badak cuba mengikat kedudukan menerusi jaringan Telmo Castanheira, gol minit akhir menerusi tendangan penalti Everton memastikan PSM Makassar meraih kemenangan 3-1.
Kemaraan kelab Borneo tanah air itu di peringkat kalah mati juga tidak bertahan lama setelah disingkirkan wakil Australia, Macarthur FC di peringkat separuh akhir Zonal Asia Tenggara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram