Kabinet cadang 3 langkah termasuk larang pelajar bawah 16 tahun guna telefon pintar


  • Massa
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Penggunaan telefon terlalu awal dalam kalangan pelajar boleh menimbulkan pelbagai masalah.

BEBERAPA langkah telah dicadangkan di Kabinet ketika membincangkan isu keganasan yang semakin meningkat di sekolah, termasuk menghalang penggunaan telefon dalam kalangan murid di bawah usia 16 tahun, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, terdapat perbincangan antara Kementerian Dalam Negeri dan polis untuk meningkatkan tahap pemantauan keselamatan di sekolah seluruh negara.

"Kami mendapati kesan dan pengaruh media sosial serta permainan atas talian menyebabkan tingkah laku merisaukan," kata beliau.

BACA LAGI: Empat suspek kes rogol pelajar di Melaka dibuang sekolah serta-merta, duduki SPM berasingan

BACA LAGI: [VIDEO] Anak obses main telefon, ibu terpaksa ‘tahan’ polis tepi jalan

Anwar menegaskan isu tersebut perlu dikupas secara serius.

Selain itu, cadangan lain termasuk mewujudkan kandungan berkaitan pendidikan sikap yang melibatkan ibu bapa serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

"Kabinet dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan menjelaskan lebih lanjut dan saya berharap pengetua, guru dan ibu bapa akan memberi kerjasama penuh," kata beliau selepas mendirikan solat Jumaat di Putrajaya pada Jumaat.

Anwar turut menjelaskan keputusan dan perbincangan tersebut dibuat secara mendalam kerana pendidikan dan hal melibatkan kanak-kanak tidak boleh diadakan secara terburu-buru.

Tambah beliau, mesyuarat Kabinet pada Jumaat membincangkan secara mendalam berhubung isu pendidikan, masalah disiplin serta kegusaran orang ramai.

"Sesetengah negara membenarkan penggunaan telefon bagi kanak-kanak berumur bawah 16 tahun. Tetapi, kita perlu bersikap lebih tegas mengenai hal sebegini," ujarnya.

Selasa lalu, seorang pelajar Tingkatan Dua dilaporkan menikam pelajar perempuan Tinkatan Empat sekitar pukul 9.10 pagi menggunakan senjata tajam sehingga mengakibatkan kematian.

Suspek tersebut kini sudah diperintahkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk ditahan reman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — The Star/TARRENCE TAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram