Pentingnya bina benteng iman, akhlak pelajar sebelum binasa dek salah laku moral, jenayah


  • Mukmin
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Dr. Khairunneezam (gambar kecil)berkata, pendidikan agama sebenar bukan hanya mengajar hukum halal dan haram, tapi mendidik hati agar takut kepada dosa, cinta kebaikan dan menjauhi segala keburukan. — Gambar hiasan/Canva

DALAM dunia moden yang semakin mencabar, peranan didikan agama sebagai benteng akhlak dan iman remaja menjadi sangat kritikal ketika ini.

Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2023 menunjukkan masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar meningkat dua kali ganda kepada 16.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Angka ini bukan sekadar statistik tetapi ia mencerminkan realiti bahawa generasi muda kita sedang berdepan krisis moral dan sosial yang serius.

BACA LAGI: Sambil makan, sambil baca komen, sembang 'live' di media sosial, semakin hilang adab depan rezeki

BACA LAGI: Hijrah suami isteri: Jaga adab, aib pasangan di media sosial, sama-sama baiki diri

Pensyarah Kanan dan Felo Bersekutu, Institut Sains Islam, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr. Khairunneezam Mohd Noor berkata, didikan agama adalah perisai dalaman yang tidak mampu diberikan oleh sistem pendidikan sekular semata-mata.

“Melalui didikan ini, ia menanam keyakinan bahawa setiap perbuatan manusia dinilai oleh ALLAH SWT dan setiap dosa akan diadili di akhirat.

“Justeru, pendidikan agama yang sebenar bukan hanya mengajar hukum halal dan haram, tetapi mendidik hati agar takut kepada dosa, mencintai kebaikan dan menjauhi segala keburukan,” katanya ketika dihubungi Majoriti.

Tambah beliau, apabila sekolah tidak lagi menjadi tempat yang sepenuhnya selamat dengan kemunculan pelbagai laporan kes buli, gangguan seksual dan salah laku moral, maka tanggungjawab membina benteng iman tidak boleh diserahkan kepada institusi pendidikan sahaja.

“Sebaliknya, rumah dan keluarga perlu menjadi madrasah pertama buat anak-anak. Dalam Islam, rumah tangga yang berteraskan iman dan kasih sayang adalah asas kepada lahirnya generasi berakhlak.

“Sebagaimana firman ALLAH SWT dalam Surah At-Tahrim ayat 6 bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka.”

“Ayat ini mengingatkan bahawa mendidik iman dan akhlak adalah amanah setiap ibu bapa. Dalam suasana sosial yang longgar nilai, hanya agama mampu membina tembok rohani yang tidak mudah ditembusi oleh hedonisme dan godaan dunia maya,” tegas beliau.

Anak-anak dibesarkan tanpa bimbingan agama akan mudah terpengaruh dengan dunia luar yang bebas dan tanpa batas. — Gambar hiasan/Canva

Pendidikan iman sejak awal usia

Mengulas lanjut, Dr. Khairunneezam berkata, dalam kerangka pendidikan Islam, proses penanaman iman tidak bermula ketika anak memasuki sekolah, tetapi sejak lahir.

Rasulullah SAW bersabda: “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapa yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Hadis ini menjelaskan bahawa potensi suci dalam diri anak-anak perlu dipupuk dari awal. Pada usia bayi hingga tiga tahun, kasih sayang dan belaian lembut adalah bentuk tarbiyah pertama.

"Anak yang membesar dalam suasana penuh kasih akan lebih mudah menerima nilai iman kerana jiwanya tenang.

“Apabila mencapai usia tamyiz (sekitar lima hingga tujuh tahun), anak-anak boleh diajar mengenal huruf al-Quran, membaca doa harian dan memahami makna kebaikan serta dosa secara asas.

“Didikan awal inilah yang akan menjadi benteng kukuh apabila mereka melangkah ke alam remaja. Sebaliknya, anak dibesarkan tanpa bimbingan agama akan mudah terpengaruh dengan dunia luar yang bebas dan tanpa batas,” ujarnya lagi.

Ibu bapa terlalu sibuk

Bagaimanapun katanya, dalam konteks hari ini, ramai ibu bapa terlalu sibuk bekerja dan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab pendidikan kepada sekolah, malah gajet sering dijadikan ‘pengasuh senyap’ di rumah.

“Akibatnya, nilai agama yang sepatutnya disemai di rumah tidak sampai ke hati anak-anak. Maka, menghidupkan kembali budaya ‘rumah sebagai madrasah’ amat penting untuk membina generasi beriman sejak kecil,” katanya.

Didikan bertahap, berhikmah

Menurut Dr. Khairunneezam lagi, para ulama sejak dahulu menegaskan bahawa pendidikan jiwa dan akhlak mesti berperingkat sebagaimana dicontohkan Rasulullah SAW.

Baginda SAW bersabda: “Suruhlah anak-anakmu mendirikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (dengan lembut) apabila berumur sepuluh tahun jika mereka meninggalkannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

“Hadis ini bukan sekadar menekankan kewajipan solat, tetapi menggambarkan prinsip pendidikan bertahap iaitu bermula dengan suruhan lembut, kemudian pembiasaan diikuti disiplin.

“Anak-anak seawal usia tiga tahun boleh diperkenalkan dengan huruf alif ba ta dan nama-nama ALLAH secara santai. Pada usia enam tahun, mereka boleh diajar doa harian dan adab seperti memberi salam serta menghormati orang tua.

"Menjelang usia tujuh tahun, mereka sudah boleh diperkenalkan kepada tanggungjawab ibadah seperti solat dan puasa,” jelas beliau.

Namun tegasnya, saat mencapai usia 12 tahun, anak-anak mula memasuki fasa kritikal remaja iaitu ketika perubahan hormon dan pengaruh sosial mula mencabar kawalan diri.

“Maka di sini, ibu bapa dan guru perlu memperkukuh kefahaman tentang batas aurat, adab pergaulan dan pentingnya kawalan nafsu.

“Oleh itu, pendidikan seks berasaskan Islam perlu diperkenalkan dengan pendekatan penuh hikmah dan menekankan nilai malu (haya’) dan tanggungjawab diri,” tegasnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Malu itu sebahagian daripada iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Jiwa yang dipenuhi rasa malu terhadap dosa akan menyebabkan umat Islam terutama golongan remaja berhati-hati dalam setiap tindakan.

"Justeru, nilai malu inilah akan menjadi benteng terkuat dalam menghadapi budaya moden yang menormalisasi maksiat dan kebebasan tanpa batas,” ujarnya.

Gabungan ilmu, kasih sayang dan disiplin Insya-ALLAH akan melahirkan remaja yang kuat jiwa, yakin kepada-NYA tidak mudah terpengaruh dan mampu berdiri teguh walau dilanda badai dunia moden. — Gambar hiasan/Canva

Gabung ilmu, kasih sayang, disiplin

Menurut Dr. Khairunneezam, tugas membentuk remaja berjiwa kukuh tidak cukup dengan hafalan ayat atau ceramah teori semata-mata, tetapi pendidikan rohani mesti menggabungkan ilmu yang benar, kasih sayang yang mendidik dan disiplin yang membentuk.

“Dari segi ilmu, anak-anak perlu didedahkan dengan kefahaman agama yang relevan dengan cabaran semasa seperti penggunaan media sosial, pergaulan maya dan kesihatan mental. Guru agama perlu dilatih memahami psikologi remaja agar penyampaian mereka menyentuh hati.

“Kasih sayang pula menjadi asas kepada keikhlasan. Anak-anak belajar lebih banyak daripada apa yang mereka lihat berbanding apa yang mereka dengar.

"Rumah yang dihiasi solat berjemaah, doa dan komunikasi lembut akan menanam ketenangan dalam jiwa anak. Teguran daripada kasih sayang lebih berkesan daripada marah tanpa bimbingan," ungkapnya.

Malah, beliau mengingatkan disiplin juga tetap penting kerana Islam menegaskan bahawa setiap kebebasan mesti disertai tanggungjawab.

"Anak-anak perlu dibiasakan dengan jadual ibadah, pengurusan masa dan pengawalan diri termasuk penggunaan gajet serta media sosial. Kawalan diri ini adalah sebahagian daripada ‘ibadah rohani’ yang melatih mereka menundukkan nafsu dan menghargai masa.

“Melalui gabungan ketiga-tiga unsur ini iaitu ilmu, kasih sayang dan disiplin, Insya-ALLAH akan melahirkan remaja yang kuat jiwanya, yakin kepada ALLAH, tidak mudah terpengaruh dan mampu berdiri teguh walau dilanda badai dunia moden,” tegas Dr. Khairunneezam lagi.

Tanggungjawab bersama:

1. Ibu bapa

Ibu bapa ialah pendidik pertama dan paling berpengaruh. Mereka perlu menunjukkan teladan akhlak, bukan sekadar memberi nasihat.

Anak yang melihat ibu bapanya beribadah dengan khusyuk akan meniru secara semula jadi.

2. Sekolah

Sekolah pula berperanan mengukuhkan nilai agama melalui pendekatan yang hidup dan praktikal.

Program solat berjemaah, tazkirah harian dan aktiviti luar bilik darjah yang berteraskan iman mampu menyuburkan roh pelajar.

3. Masyarakat

Masyarakat juga tidak boleh berpeluk tubuh. Masjid, surau dan komuniti setempat perlu kembali menjadi pusat pendidikan rohani dan sosial.

Program kem remaja, kelas hujung minggu dan aktiviti sukarelawan dapat memupuk nilai kasih, tanggungjawab dan ukhuwwah.

Kesimpulan

“Jika salah satu pihak mengabaikan tanggungjawab ini, keseimbangan pendidikan rohani akan tergugat. Anak-anak mungkin bijak akademik, tetapi kosong spiritual.

"Akhirnya, lahirlah generasi pintar tetapi rapuh iman iaitu berani menipu, menzalimi, bahkan melakukan jenayah seksual tanpa rasa bersalah.

“Islam mengajar bahawa membentuk manusia bukan sekadar mendidik akal, tetapi juga hati. Hati yang hidup dengan iman akan melahirkan akhlak yang baik.

"Maka, hanya dengan kerjasama menyeluruh antara rumah, sekolah dan masyarakat, kita mampu melahirkan generasi yang bukan sahaja berjaya di dunia, tetapi juga selamat di akhirat,” kata Dr. Khairunneezam menutup bicara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram