Sejarah mungkin berulang di Paroi andainya Gergasi Merah tak buang 'penyakit lama'


  • Podium
  • Selasa, 14 Okt 2025

Selangor FC bakal berkunjung ke Stadium Paroi bagi suku akhir pertama Piala FA pada Sabtu. — Facebook/NSFC

SAINGAN Piala FA musim 2025/26 kini memasuki fasa suku akhir selepas berakhirnya pusingan 16 pasukan terbaik dengan menyaksikan semua lapan wakil Liga Super mengesahkan tempat mereka di kelompok lapan terbaik.

Antara pasukan yang mara ialah juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), naib juara edisi lalu Selangor FC serta Negeri Sembilan FC, Terengganu FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC dan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC).

Perlawanan suku akhir kali ini turut menjanjikan aksi menarik apabila Selangor FC kembali dipertemukan dengan Negeri Sembilan FC (NSFC), lawan yang kini berada dalam prestasi terbaik selepas mempamerkan kebangkitan dalam saingan Liga Super.

BACA LAGI: Lupakan gangguan luar, Rajagobal tuntut keputusan positif lawan Laos

BACA LAGI: [VIDEO] ‘Chemistry’ tak pudar, Jordan Mintah-Faisal Halim kongsi senyuman menjelang aksi di Laos

Skuad bimbingan Nidzam Jamil itu menunjukkan peningkatan konsisten apabila mencatat dua kemenangan penting menewaskan Selangor (2-1) dan Sabah (3-0) dalam perlawanan Liga Super mereka.

Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri bagi perlawanan pertama suku akhir, skuad Jang dilihat berpeluang untuk mengulangi kejutan seperti dalam aksi Liga Super sebelum ini apabila menumpaskan Gergasi Merah dengan keputusan mengejutkan.

Namun begitu, Selangor yang dikendalikan jurulatih interim, Christopher Gamel pastinya enggan mengulangi kesilapan lalu dan dijangka turun dengan lebih berhati-hati.

NSFC bakal melayan kunjungan Selangor FC bagi aksi pertama suku akhir Piala FA. — Facebook/NSFC 

Sekiranya mahu turun dengan yakin dalam perlawanan itu, kelab Lembah Klang tersebut perlu menyedari beberapa isu yang perlu diatasi segera.

Sebagai contoh, masalah kebolosan pada separuh masa kedua masih menghantui Gergasi Merah musim ini.

Beberapa perlawanan menyaksikan mereka gagal mengekalkan disiplin bertahan walaupun sedang mendahului.

Kelekaan di penghujung permainan sering membuka ruang kepada lawan untuk mencuri jaringan, satu kelemahan yang perlu diperbaiki segera menjelang aksi suku akhir nanti.

Pengendali skuad Jang, Nidzam Jamil pastinya mempunyai rencah rahsia untuk menewaskan Gergasi Merah. — Facebook/NSFC 

Selain itu, keputusan taktikal juga bakal memainkan peranan penting.

Selangor perlu lebih bijak membuat pertukaran pemain yang memberi impak segera, bukan sekadar untuk mengisi posisi.

Beberapa perlawanan sebelum ini menunjukkan bahawa pertukaran lewat atau tidak tepat kadangkala menjejaskan momentum permainan pasukan.

Malah, ketiadaan pemain pinjaman berpengaruh, Alex Agyarkwa mungkin dianggap kelebihan buat Selangor, namun skuad Negeri Sembilan masih mempunyai pengganti berkaliber.

Pemain tengah Korea Selatan, An Sang-su dijangka mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Alex Agyarkwa. — Facebook/NSFC 

Pemain tengah kelahiran Korea Selatan, An Sang-su, dijangka mengisi kekosongan tersebut dan berpotensi menjadi watak penting dalam mengawal tempo perlawanan.

Dengan reputasi kedua-dua pasukan yang semakin meningkat, pertembungan antara Negeri Sembilan dan Selangor FC di suku akhir Piala FA dijangka menjadi antara aksi paling sengit musim ini.

Perlawanan pertama akan berlangsung di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, pada 18 Oktober sebelum aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang bakal menentukan pasukan mana layak ke separuh akhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram