
SELEPAS hampir dua minggu saingan Liga Malaysia berehat bagi memberi laluan kepada skuad kebangsaan beraksi dalam Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos, tumpuan peminat bola sepak tempatan kini kembali terarah kepada saingan suku akhir Piala FA musim 2025/26 yang menjanjikan aksi penuh mendebarkan.
Lapan pasukan bakal berentap dalam suku akhir pertama bagi memburu tiket ke separuh akhir kejohanan berprestij itu.
Antara pertemuan menarik ialah Penang FC yang akan menerima kunjungan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT), manakala Selangor FC bakal bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk menentang Negeri Sembilan FC.
BACA LAGI: FIFA tak persoal prosedur JPN tapi kelayakan 7 pemain warisan — Khairi
BACA LAGI: Sejarah mungkin berulang di Paroi andainya Gergasi Merah tak buang 'penyakit lama'
Kelantan TRW bakal menerima kunjungan Sang Badak bagi aksi suku akhir pertama Piala FA pada Jumaat. — Facebook/therealwarriors
Di Pantai Timur pula, Terengganu FC pula akan melayani kunjungan Kuching City FC, manakala satu lagi aksi tumpuan mempertemukan Kelantan The Real Warriors (TRW) dan Sabah FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Pertemuan antara Kelantan TRW dan Sabah FC dijangka sengit memandangkan kedua-dua pasukan pernah bertemu dalam saingan Liga Super sebelum ini yang berakhir dengan keputusan seri 0-0 di Stadium Likas.
Kali ini, kelebihan jelas memihak kepada Kelantan TRW yang bakal beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri.
Sorakan fanatik di Kota Bharu sering menjadi 'pemain ke-12' buat Kelantan, sesuatu yang boleh menjadi penghalang besar buat Sabah, apatah lagi prestasi mereka ketika ini dilihat agak tidak menentu.
Sokongan padu daripada penyokong setia dijangka menjadi tonik tambahan buat anak buah E. Elavarasan untuk menampilkan aksi bertenaga dan memanfaatkan kelebihan gelanggang sendiri sebaik mungkin.
Sebahagian sesi latihan Sang Badak yang pastinya mahu mendapatkan kelebihan di laman lawan untuk dibawa balik ke Stadium Likas. — Facebook/Sabahfc
Namun begitu, Sabah FC bukan lawan mudah meskipun beraksi di tempat lawan.
Skuad Sang Badak masih memiliki deretan pemain berkualiti seperti Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Darren Lok yang mampu menghadirkan ancaman kepada benteng pertahanan tuan rumah.
Justeru, Kelantan TRW tidak boleh memandang rendah kemampuan pasukan dari Borneo itu.
Sebagai peringatan, Kelantan TRW boleh menjadikan persembahan gemilang Terengganu FC musim lalu sebagai inspirasi, apabila skuad Sang Penyu menewaskan Sabah FC dengan keputusan mengejutkan 7-0 untuk mara ke separuh akhir.
Dalam perlawanan pertama, skuad Sang Penyu meraih kemenangan selesa selepas meledak empat gol tanpa balas ketika aksi di tempat lawan.
Sebahagian sesi latihan Sang Badak. — Facebook/Sabahfc
Keselesaan tersebut diteruskan dalam aksi timbal balik apabila Terengganu FC sekali lagi menampilkan persembahan cemerlang untuk mencetak tiga gol, sekali gus memastikan kemaraan ke separuh akhir.
Dominasi ditonjolkan skuad Sang Penyu itu boleh diulangi Kelantan TRW dalam kedua-dua pertembungan suku akhir itu untuk meneruskan kemaraan dalam pertandingan berformat kalah mati berkenaan.
Dengan barisan pemain seperti Sean Selvaraj, Azam Azih, Azwan Aripin dan Sebastian Avanzini, Kelantan TRW diyakini berupaya menghadirkan satu lagi kejutan dan menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Piala FA musim ini.
Sabah FC bakal berdepan Kelantan TRW dalam aksi pertama suku akhir Piala FA sebelum menerima kunjungan pasukan sama pada aksi kedua di Stadium Likas pada 29 Oktober nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram