Jangan terkejut duo kelab Pantai Timur setanding JDT, belum pernah jadi mangsa 'comeback'


  • Podium
  • Khamis, 16 Okt 2025

Terengganu dan KTRW mempunyai rekod baik dalam mempertahankan pendahuluan diraih mereka semasa aksi Liga Super.

DALAM bola sepak, salah satu ciri sebuah pasukan itu cukup ampuh di padang adalah apabila mereka mampu mengekalkan pendahuluan yang diraih mereka semasa perlawanan.

Hal ini kerana, terdapat kelab yang mengalami kesukaran untuk mengekalkan pendahuluan mereka dan kemudiannya mencicirkan mata sama ada seri atau kalah.

Di Liga Super, terdapat beberapa kelab yang menonjolkan kualiti mereka dengan teguh mengekalkan pendahuluan tanpa mengalami 'comeback' dari pihak lawan.

BACA LAGI: Bukan saja ampuh, ‘kereta kebal’ JDT-TFC-Selangor terbukti cukup tajam depan pintu gol musim ini

BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini

Kelantan The Real Warriors

Ini bukan cerita karut tetapi Kelantan The Red Warriors FC (KTRW) menyertai slot elit dengan mereka sangat ampuh ketika memegang pendahuluan dalam perlawanan.

Walaupun KTRW masih lagi cuba untuk menyesuaikan diri di Liga Super selepas penjenamaan semula, mereka masih memberikan cabaran berkualiti dengan kelab Pantai Timur itu menduduki tempat ketujuh dalam tujuh perlawanan.

Satu daripada kemenangan KTRW (kanan) adalah ketika mengalahkan DPMM.

Mereka meraih dua kemenangan setakat ini dengan ia dihasilkan sewaktu KTRW menewaskan DPMM FC dan Penang FC.

Dalam dua kemenangan itu, KTRW ampuh dengan berjaya mempertahankan pendahuluan diraih mereka sehingga ke wisel penamat.

Terengganu FC

Dalam senarai elit ini, kita sebenarnya dapat saksikan dua kelab Pantai Timur dengan Terengganu FC turut mempunyai reputasi baik dalam mengekalkan pendahuluan.

Disebut-sebut sebagai calon meraih slot ke kejohanan Asia musim depan, Terengganu kini menduduki tempat ketiga dengan meraih 13 mata daripada tujuh perlawanan.

Terengganu cukup ampuh di depan gol apabila menewaskan pihak lawan.

Dalam rekod itu, Terengganu berjaya meraih empat kemenangan hasil menewaskan Penang FC, DPMM, Melaka FC dan KTRW selepas meraih pendahuluan ketika perlawanan.

Lebih manis, dalam empat kemenangan itu Terengganu menjaringkan 16 gol dan cuma bolos sekali.

Johor Darul Ta'zim

Setakat ini, masih belum ada kelab yang berjaya melakukan 'comeback' terhadap Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Super.

Harimau Selatan itu setakat ini mencatatkan rekod bersih dengan meraih tujuh kemenangan dengan mereka meraih 21 mata sambil menghasilkan 33 gol.

JDT mendahului liga selepas tujuh perlawanan.

Dalam rekod baik itu, JDT berjaya menang enam kali selepas mendahului perlawanan liga dengan cuma sekali saja mereka ketinggalan.

Satu-satunya waktu di mana mereka ketinggalan adalah sewaktu Negeri Sembilan FC mendahului 2-0 sebelum JDT bangkit menewaskan mereka dengan keputusan 5-3. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram