Dua malim ditahan, pendaki Gunung Liang meninggal dunia kerana masalah kesihatan, bukan terjatuh — Polis


  • Kes
  • Jumaat, 17 Okt 2025

Mustaqqeem meninggal dunia selepas mendaki Gunung Liang.

POLIS sahkan kematian pendaki Gunung Liang, Tanjong Malim, Mustaqqeem Mansoor, 34, adalah disebabkan faktor kesihatan dan bukannya jatuh seperti didakwa.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, mangsa dipercayai mendaki dalam keadaan kakinya sakit.

Pihak polis turut mengesahkan yang dua malim gunung yang terlibat dalam misi mendaki turut ditahan kerana memasuki kawasan rizab hutan tanpa permit sah.

BACA LAGI: Prinsip 'no one left behind' hanya mitos, misteri kematian pendaki Gunung Liang masih belum terungkai

BACA LAGI: 'Dalam hutan ada harimau dan pacat', motivasi berkobar gadis buta layak digelar 'Srikandi Gunung Tahan'

Pihak berkuasa menemukan mayat Mustaqqeem selepas misi mencari dan menyelamat dilakukan.

Ketika pendakian, ia disertai oleh 10 orang peserta termasuk dua malim gunung yang bermula pada 10 Oktober.

"Kumpulan tersebut memulakan pendakian di Fraser Hill, Pahang dan berakhir di Muallim, Perak.

"Mangsa tidak sampai ke base dan kemudiannya ditemui meninggal dunia. Mayat mangsa juga masih belum dibawa turun," kata Mohammad Azlin pada Jumaat.

Mangsa kali terakhir dilihat empat hari selepas pendakian bermula di puncak gunung sekitar 10.30 malam.

Dia kemudiannya ditemukan dua hari kemudian oleh pihak berkuasa selepas misi mencari dan menyelamat dijalankan.

Dalam masa yang sama, Mohammad Azlin mengesahkan yang dua malim tersebut ditahan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Apabila mereka memulakan pendakian di sempadan Pahang, mereka mempunyai permit tetapi mereka tidak mempunyainya di Perak.

"Tangkapan dibuat oleh Jabatan Perhutanan Perak dibawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara," jelasnya. — The Star/ANNABELLE LAWRENCE

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram