Ampuh di laman sendiri, 'kereta kebal' TFC mahu kekalkan prestasi jumpa The Cats


  • Podium
  • Rabu, 15 Okt 2025

Ubaidullah ingin bantu Terengganu kalahkan Kuching City dalam Piala FA.

PEMAIN pertahanan Terengganu FC, Ubaidullah Shamsul mahu kelabnya meneruskan rentak ampuh di laman sendiri apabila bertemu Kuching City FC dalam tugasan Piala FA pada Sabtu.

Ketika ini, Terengganu beraksi baik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak dengan mereka menang tiga perlawanan berturut-turut dalam Liga Super.

Bagi pertahanan Harimau Malaya itu, Ubaidullah mahu persembahan baik skuad Penyu diteruskan dalam Piala FA lebih-lebih lagi mereka dalam pusingan suku akhir.

BACA LAGI: Bukan saja ampuh, ‘kereta kebal’ JDT-TFC-Selangor terbukti cukup tajam depan pintu gol musim ini

BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini

Ubaidullah (kiri) mahu Terengganu teruskan aksi cemerlang dalam Piala FA pula. — Malaysia NT

"Skuad sekarang ini dalam prestasi yang baik dan kami mahu mengekalkan perkara itu menuju ke perlawanan seterusnya.

"Aksi pertama untuk suku akhir ini akan menjadi sangat penting buat kami bagi membawa kelebihan pada aksi timbal balik di Kuching," ujarnya.

Bagi Ubaidullah, Kuching bukannya lawan yang mudah untuk dihadapi kerana mereka mempunyai skuad yang kuat di setiap posisi.

Disulami dengan pemain tempatan dan import berkualiti, nama seperti Ramadhan Saifullah pastinya akan memberikan ancaman getir kepada Terengganu.

"Kuching ada ramai pemain berkualiti. Kami tahu yang pemain import mereka juga kuat.

"Mereka juga ada Ramadhan Saifullah, yang merupakan senjata utama mereka kerana mempunyai kelajuan dan kepintaran dalam mencari ruang.

"Saya harap penyokong akan datang ke stadium dan menyokong kami, harapnya kita dapat capai sesuatu bersama," komennya. — The Star/S. SAKTESH

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram