
KERAJAAN Selangor memperuntukkan dana sebanyak RM1 juta untuk memberikan suntikan vaksin Influenza A kepada pelajar sekolah secara percuma.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemberian itu akan membolehkan seramai 12,500 pelajar mendapatkan suntikan vaksin secara percuma.
Sebanyak empat daerah akan menerima vaksin tersebut iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
BACA LAGI: Murid pendidikan khas SK Meru meninggal dunia disyaki akibat Influenza A
BACA LAGI: Ibu bapa jangan percaya mitos vaksinasi punca influenza, selamat untuk kanak-kanak awal usia 6 bulan
“Kerajaan negeri akan memperuntukkan RM1 juta untuk vaksin Influenza A disuntik secara percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Usaha kerajaan negeri itu diketuai oleh Exco Kesihatan Awam negeri iaitu Jamaliah Jamaluddin.
Pemberian vaksin tersebut akan dilakukan bermula minggu depan dengan dijangka seawal Selasa selepas sambutan perayaan Deepavali.
Kes Influenza A semakin merebak dalam kalangan pelajar sekolah dengan ia sudah meragut seorang pelajar.
Pada Khamis, seorang pelajar pendidikan khas berusia 8 tahun di Sekolah Kebangsaan Meru, Klang meninggal dunia akibat penyakit tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram