
TONGGAK Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi masih meletakkan dirinya dalam buku sejarah bola sepak Asia meskipun tidak dinobatkan Pemain Terbaik AFC 2025.
Anugerah tersebut menjadi milik penyerang sayap Arab Saudi, Salem Al-Dawsari selepas membantu kelabnya, Al-Hilal melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite tahun lalu.
Pencapaian itu sememangnya menyekat peluang Arif Aiman untuk muncul Pemain Terbaik AFC tahun ini, namun ia tidak menutup kisahnya sebagai antara bintang paling menyinar di Asia Tenggara.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan sengaja Arif Aiman tak sapa penyokong, terus 'terbang' buru anugerah AFC di Riyadh
BACA LAGI: [VIDEO] Persis Lamine Yamal-Lionel Messi, fans Eropah tuntut Arif Aiman beraksi di Stamford Bridge
Menerusi perkongsian Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), tonggak JDT terbabit menjadi pemain tempatan pertama tersenarai dalam tiga teratas untuk anugerah berkenaan.
"Arif Aiman mencatat sejarah baharu bola sepak negara apabila menjadi pemain pertama dari Malaysia dan satu-satunya wakil Asia Tenggara yang tersenarai dalam Top 3 Pemain Terbaik Tahunan AFC selepas Therdsak Chaiman dari Thailand pada 2003!
"Satu pencapaian yang cukup luar biasa buat bola sepak negara apabila Arif tersenarai bersama dua lagi bintang besar Asia yang lain, Akram Afif (Qatar) dan Salem Al-Dawsari (Arab Saudi)," tulisnya.
Pemain berusia 23 tahun itu berada dalam senarai eksklusif terbabit selepas membantu skuad Harimau Selatan mengekalkan dominasi di pentas domestik selain membantu pasukannya melangkah ke pusingan 16 pasukan terbaik ACL Elite 2024/25.
Arif Aiman sudah bertahun-tahun menunjukkan kebolehan di pentas domestik.
Di samping itu, penyerang sayap berkenaan menjadi watak penting buat skuad kebangsaan, terutamanya sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027.
Sumbangan demi sumbangan dicurahkan meletakkan Arif Aiman dalam kedudukan tiga teratas dengan rekod lebih baik mahu ditampilkan sekiranya mahu membawa pulang anugerah berkenaan.
Dalam malam anugerah terbabit, beberapa pengiktirafan lain disampaikan termasuk Pemain Antarabangsa Asia yang dirangkul Lee Kang-in selepas membantu Paris Saint-Germain menjulang Liga Juara-Juara UEFA (UCL).
Selain itu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut pulang dengan kenangan manis selepas meraih perak dalam kategori Anugerah Pembangunan Akar Umbi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram