
PEMAIN pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem mengatakan yang dia dan rakan sepasukan harus cepat menyesuaikan diri dengan taktikal pengendali sementara, Christophe Gamel.
Bagi Sharul atau lebih mesra disapa sebagai Afro, terdapat perbezaan antara Gamel dengan pengendali sebelum ini, Katsuhito Kinoshi dari segi taktikal yang digunakan semasa perlawanan.
Namun begitu, dia mengatakan yang skuad harus cepat sesuaikan diri dan kekal profesional walaupun Gergasi Merah mengalami perubahan ketua jurulatih.
BACA LAGI: Bukan saja ampuh, ‘kereta kebal’ JDT-TFC-Selangor terbukti cukup tajam depan pintu gol musim ini
BACA LAGI: Selangor bukan lagi pilihan, data lebih berpihak KL City-TFC sebagai pencabar utama JDT musim ini
Sharul (dua dari kiri) merupakan salah satu daripada wajah baharu Skechers Football.
"Bagi saya, setiap jurulatih ada taktikalnya. Sebelum ini, kita semua tahu yang Kinoshi ada taktikal, Gamel juga ada taktikal lain.
"Kami kena sesuaikan diri dengan cepat. Sebagai pemain, kami kena profesional dan teruskan walau macam mana pun. Kami kena berikan yang terbaik dengan taktikal yang diberikan oleh jurulatih," kata Sharul kepada media pada Khamis.
Tugasan seterusnya menanti Sharul dan Selangor adalah perlawanan getir menentang Negeri Sembilan FC dalam suku akhir Piala FA pada Sabtu.
Dengan sebelum ini Sharul mengalami kecederaan, dia mengakui semakin pulih dan berharap dapat diturunkan bertemu skuad Jang.
"Saya akan berikan yang terbaik jika diturunkan," ujarnya.
Sharul ditemui media ketika majlis memperkenalkan pemain itu sebagai wajah baharu untuk Skechers Football di Kuala Lumpur.
Selain Sharul, dua lagi pemain Selangor iaitu Aliff Haiqal dan Kevin Deeromram serta legenda, Indra Putra Mahayuddin turut menjalin kerjasama dengan jenama kasut tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram