[VIDEO] Bukan sengaja Arif Aiman tak sapa penyokong, terus 'terbang' buru anugerah AFC di Riyadh


  • Podium
  • Rabu, 15 Okt 2025

Arif Aiman tercalon dalam kategori berprestij Pemain Terbaik Tahunan AFC di Pusat Kebudayaan King Fahd. — Facebook/MalaysiaNT

SKUAD Harimau Malaya berjaya bangkit membelasah pasukan Laos 5-1 dalam aksi Kelayakan Pusingan Ketiga Piala AFC 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Rabu.

Laos mengejutkan pasukan tuan rumah pada minit ke-19 apabila rembatan pemain tengah Chanthavixay Khounthoumphone membolosi gawang yang dijaga penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi.

Memasuki babak kedua permainan, Faisal Halim menjaringkan gol pertama pada minit ke-59, Romel Morales mencetak dua gol, gol keempat hadir pada minit ke-79 apabila bek Laos iaitu Khammanh Thapaseut membolosi gawang sendiri dan gol kelima dijaringkan oleh Paulo Josue pada minit ke-82.

BACA LAGI: Pecah rekod bekas arkitek Harimau Malaya, Arif Aiman kini penjaring lokal terbanyak JDT

BACA LAGI: Tonggak Bangkok United angkat Arif Aiman, penyerang berbisa sebagai 2 ancaman terbesar JDT

Kemenangan berkenaan mengekalkan rekod sempurna Malaysia dalam Kumpulan F, dengan mencatat empat kemenangan berturut-turut untuk menduduki tangga teratas dengan 12 mata.

Usai kemenangan besar itu, barisan pemain pasukan bimbingan Peter Cklamovski menjalankan tradisi biasa mereka dengan mengeliling stadium menyapa penyokong skuad kebangsaan.

Bagaimanapun, kelibat pemain sayap sensasi negara iaitu Arif Aiman Hanapi tidak kelihatan bersama tonggak lain apabila dia difahamkan terus terbang ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri majlis Anugerah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2025.

"Arif Aiman tidak sertai pasukan mengelilingi padang, bergegas ke lapangan terbang untuk berlepas ke Riyadh bagi menghadiri Anugerah ‘AFC Player of The Year’. Good luck Messi," kongsi pemerhati bola sepak tanah air, Zulhelmi Zainal Azam pada laman X miliknya.

Difahamkan, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu tercalon dalam kategori berprestij Pemain Terbaik Tahunan AFC di Pusat Kebudayaan King Fahd, sekali gus menjadi wakil tunggal Malaysia yang tersenarai bersama dua lagi calon handalan Asia.

Tercalon dalam kategori Pemain Terbaik Tahunan AFC, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan berdepan cabaran hebat daripada dua calon lain iaitu pemain kebangsaan Qatar, Akram Afif dan bintang Arab Saudi, Salem Al Dawsari.

Berdasarkan kenyataan di laman AFC, badan induk bola sepak Asia berkenaan menyifatkan pemain berusia 23 tahun itu menikmati kempen luar biasa sepanjang musim 2024/2025.

Sepanjang musim lalu, Arif Aiman muncul antara watak penting dalam kejayaan JDT mempertahankan kejuaraan Liga Super serta membantu Harimau Malaya mara ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027.

Untuk info, Arif Aiman meledak lima gol ketika membantu pasukannya mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di samping memenangi kejuaraan treble di peringkat domestik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram