
BINTANG sayap sensasi Harimau Malaya, Arif Aiman Hanapi menjadi antara pemain yang menyinar ketika melakar kemenangan 3-0 ke atas Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional, Vientiane, Laos pada Khamis.
Gol pembuka daripada tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan pada minit ke-54 menjadi titik kebangkitan yang mencetuskan sorakan lega seluruh tanah air pada perlawanan itu.
Selang beberapa minit, Dion Cools menambah jaringan pada minit ke-68, sebelum Faisal Halim menoktahkan kemenangan bergaya menerusi gol ketiga pada masa tambahan babak kedua.
BACA LAGI: Pecah rekod bekas arkitek Harimau Malaya, Arif Aiman kini penjaring lokal terbanyak JDT
BACA LAGI: Tonggak Bangkok United angkat Arif Aiman, penyerang berbisa sebagai 2 ancaman terbesar JDT
Aksi cemerlang dipamerkan Arif Aiman di peringkat kebangsaan itu membuktikan dia sememangnya layak menjadi pemain Malaysia pertama tercalon bagi Anugerah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang akan berlangsung 16 Oktober ini.
Tercalon dalam kategori Pemain Terbaik Tahunan AFC, tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu akan berdepan cabaran hebat daripada dua calon lain iaitu pemain kebangsaan Qatar, Akram Afif dan bintang Arab Saudi, Salem Al Dawsari.
Berdasarkan kenyataan di laman AFC, badan induk bola sepak Asia berkenaan menyifatkan pemain berusia 23 tahun itu menikmati kempen luar biasa sepanjang musim 2024/2025.
Bukan hanya diiktiraf di peringkat Asia, bakat Arif Aiman juga menarik perhatian penyokong luar negara hingga ada di kalangan mereka mahu menyaksikan 'ayam tambatan' skuad kebangsaan itu bermain di saingan Eropah.
Seperti video yang dikongsikan Stadium Astro, penyokong dua kelab ternama Eropah iaitu Chelsea dan Benfica melabel gaya permainan Arif Aiman seperti Lionel Messi, Lamine Yamal dan Cole Palmer.
"Saya suka kerana dia boleh menggunakan kedua-dua kakinya untuk melakukan serangan dan melakukan percubaan ke arah gawang. Malaysian Messi," kata penyokong Chelsea ketika ditemui di luar Stamford Bridge.
"Saya boleh lihat Saka (Bukayo), Yamal dan Palmer dalam diri dia. Dia ada kaki kanan yang baik. Ada skil seperti Messi," puji penyokong The Blues selepas melihat video itu.
"Dia sepatutnya berada di liga yang ternama dan mungkin bermain dengan kita (Chelsea). Dia ada penyudah yang baik. Kami akan pantau perkembangannya," kata penyokong Chelsea.
Untuk info, Arif Aiman meledak lima gol ketika membantu pasukannya mara ke pusingan 16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di samping memenangi kejuaraan treble di peringkat domestik.
Bukan itu sahaja, Arif Aiman juga menjadi tonggak penting skuad kebangsaan dalam misi menuju ke Piala Asia 2027 di Arab Saudi 2027. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram