Kongsi foto atas padang, 2 pemain warisan optimis kembali beraksi secepat mungkin


  • Podium
  • Isnin, 13 Okt 2025

Harapan baharu muncul apabila dua pemain warisan Harimau Malaya memberi petunjuk bakal kembali beraksi dalam masa terdekat. — Facebook/Malaysia NT

DUA pemain warisan Harimau Malaya, Imanol Machuca dan Gabriel Palmero mencuri perhatian apabila memuat naik perkembangan terbaharu di media sosial yang seolah-olah memberi bayangan mereka bakal kembali turun beraksi tidak lama lagi.

Menerusi perkongsian di akaun Instagram masing-masing, kedua-dua pemain itu berkongsi foto dan kata-kata motivasi yang memberi harapan baharu buat penyokong Harimau Malaya, susulan penggantungan yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini.

Machuca memuat naik gambarnya di atas padang, satu isyarat jelas bahawa dia sedang bersedia untuk kembali beraksi.

BACA LAGI: ‘Yang mana satu?’, antara Josue-Mintah, siapakah pilihan terbaik Cklamovski?

BACA LAGI: Kisah berbeza 2 bintang ‘terperap’ JDT, seorang bergelut seorang lagi terus konsisten

Tangkap layar Insta Story Machuca.

Sebelum ini, Machuca antara tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang dikenakan penggantungan selama 12 bulan oleh FIFA selepas dikaitkan dengan isu pemalsuan dokumen.

Difahamkan, pemain kelab Velez Sarsfield itu dijadualkan pulang ke Argentina selepas menyelesaikan rayuan berhubung kes FIFA sebelum kembali menyambung kariernya.

Sementara itu, Gabriel Palmero turut menarik perhatian dengan memuat naik satu petikan motivasi di Instagramnya.

"Menuju bintang-bintang melalui jalan yang paling sukar," tulisnya.

Perkongsian Palmero mencetus spekulasi mengenai kepulangannya ke padang dalam masa terdekat.

Kata-kata itu dilihat mencerminkan semangat dan kesungguhan Palmero untuk bangkit semula selepas melalui fasa sukar sepanjang penggantungan.

Sebelum ini, Palmero tidak dibenarkan menyertai latihan mahupun perlawanan rasmi bersama kelabnya, Unionistas de Salamanca.

Terdahulu, FIFA menjatuhkan hukuman denda RM1.8 juta ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), selain menggantung tujuh pemain warisan iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca selama 12 bulan.

Namun dengan perkembangan terbaharu dari kedua-dua pemain tersebut, perkongsian itu seolah-olah memberi sinar baharu buat skuad Harimau Malaya khususnya menjelang aksi penting dalam kalendar antarabangsa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram