Masih tiada perkembangan, FAM sedia tindakan guaman


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil langkah susulan.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memaklumkan bahawa pihaknya masih menunggu dokumen lengkap keputusan penghakiman daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung isu penggantungan tujuh pemain naturalisasi negara.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, proses rayuan hanya dapat dimulakan selepas pihaknya menerima dokumen rasmi tersebut sepenuhnya daripada FIFA.

Menurut beliau, pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil langkah susulan sebaik dokumen itu diterima bagi memastikan rayuan dapat dikemukakan dengan teratur, lengkap serta disokong bukti kukuh. 

BACA LAGI: Skandal bintang warisan beri kesan ekosistem bola sepak negara, FAM harus bertanggungjawab — PBMM

BACA LAGI: 'Bagaimana kebodohan ini boleh berlaku?', Ultras Malaya pecah kebisuan, buat 3 tuntutan skandal pemain warisan

"Proses rayuan hanya dapat dimulakan sebaik sahaja dokumen penuh keputusan tersebut diterima secara rasmi. Pasukan guaman FAM telah bersedia untuk mengambil sebarang tindakan lanjut sejurus dokumen berkenaan diperoleh.

"Sebaik sahaja keputusan penuh diterima, pasukan guaman FAM akan mengemukakan rayuan dengan dokumen sokongan yang kukuh," kata badan induk berkenaan dalam kenyataan dikeluarkan pada Isnin. 

FAM dan tujuh pemain kebangsaan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal serta Hector Hevel dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didakwa melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM dikenakan denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta) manakala setiap pemain pula didenda CHF2,000 (RM10,560) serta digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram