Bangkitlah Sang Penyu, jangan biarkan derita tersingkir awal Piala FA 2016 berulang


  • Podium
  • Sabtu, 13 Sep 2025

Skuad Sang Penyu perlu bangkit demi memastikan kelangsungan dalam Piala FA. — Facebook/Terengganu FC

KEKALAHAN tipis 1-2 dialami dalam perlawanan pertama Piala FA kepada Imigresen FC menyaksikan kemaraan Terengganu FC ke suku akhir sedikit sukar meskipun peluang untuk bangkit masih ada.

Mereka yang sebelum ini mengalami keputusan itu di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang perlu segera melupakan kekecewaan terbabit pada aksi timbal balik di laman sendiri pada Sabtu.

Kepercayaan masih tebal dalam kalangan penyokong kerana anak-anak buah Badrul Afzan Razali hanya memerlukan dua gol untuk mengembalikan kelebihan buat mereka.

BACA LAGI: [VIDEO] Berdepan Brunei, 'malapetaka' menanti seluruh Sarawak jika tidak ambil iktibar final Piala Malaysia 1999

BACA LAGI: Piala FA: Bangkitnya NSFC, kelab Kelantan hidupkan kenangan pertembungan epik 2010

Imigresen FC meraih kelebihan ke atas Terengganu FC dalam saingan Piala FA. Facebook/Imigresen FC

Tetapi, sekiranya gagal berbuat demikian, skuad Sang Penyu terpaksa melupakan peluang menamatkan penantian menjulang Piala FA selepas kali terakhir menjuarainya pada 2011.

Ketiadaan Terengganu FC dalam pusingan selanjutnya akan membuatkan pasukan lain akan merindui kelibat pasukan yang kerap memberi cabaran dalam pertandingan berkenaan.

Ini kerana dalam tiga edisi terdahulu, gergasi Pantai Timur itu akan melangkah sejauh separuh akhir dengan Piala FA 2022 menyaksikan mereka muncul naib juara.

Malah, sekiranya dilihat dari sejarah kejohanan, kali terakhir skuad Sang Penyu tersingkir pada peringkat awal adalah kira-kira sembilan tahun lalu, iaitu pada 2016.

Terengganu FC memulakan langkah di pusingan kedua Piala FA dengan mereka diundi menentang PKNS FC dalam format berbeza kerana tiada aksi timbal balik.

Skuad Sang Penyu dikecewakan PKNS FC dalam pusingan awal Piala FA 2016.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka itu menyaksikan pihak lawan membuka jaringan menerusi Matias Jadue sebelum skuad Sang Penyu kembali mengikat kedudukan hasil jaringan Fakhurazi Musa.

Tetapi, usaha Terengganu yang dikendalikan Ahmad Yusof untuk bangkit tidak kesampaian selepas PKNS FC kembali di depan selepas Gonzalo Soto menjaringkan gol disusuli jaringan Gabriel Guerra bagi memastikan kemenangan 3-1.

Kekalahan tersebut sememangnya pahit untuk ditelan Terengganu yang turut mengalami prestasi merisaukan di pentas Liga Super apabila mereka menamatkan saingan di kedudukan tercorot.

Pada musim-musim berikutnya, skuad Sang Penyu menampilkan aksi lebih baik di pentas Piala FA meskipun masih belum bernasib baik untuk menjuarai pertandingan berkenaan.

Peluang masih terhidang buat pasukan itu musim ini, namun mereka perlu terlebih dahulu melepasi cabaran Imigresen FC dalam aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu sebelum dapat melangkah ke pusingan seterusnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram