Pecah rekod bekas arkitek Harimau Malaya, Arif Aiman kini penjaring lokal terbanyak JDT


  • Podium
  • Isnin, 06 Okt 2025

Arif Aiman muncul penjaring terbanyak tempatan dengan 61 jaringan. — Facebook/JST

PEMAIN sayap muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi mencipta sejarah baharu dalam arena bola sepak tempatan dengan menjadi penjaring terbanyak tempatan kelab itu selepas meledak dua gol dalam kemenangan 7-0 ke atas PDRM dalam aksi Liga Super 2025/26 pada Ahad.

Dengan tambahan dua gol tersebut, Arif kini mengumpul 61 gol dalam semua pertandingan bersama JDT, mengatasi rekod 59 gol yang sebelum ini dipegang oleh bekas arkitek Harimau Malaya, Safiq Rahim.

Berita gembira itu dikongsikan oleh JOHOR Southern Tigers di laman Facebook pada Isnin.

BACA LAGI: [VIDEO] Lega cetak gol bantu raih kemenangan sulung Harimau Kumbang, mentaliti Kipre wajar jadi ikutan

BACA LAGI: [VIDEO] Ada masa Ramadhan Saifullah perlu tamak untuk cetak gol — Zaquan Adha

"Hanya pada usia 23 tahun, Arif Aiman Hanapi kini menjadi penjaring terbanyak tempatan buat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan 61 gol dalam semua pertandingan.

"Dua jaringan Arif ketika kemenangan 7-0 JDT ke atas PDRM dalam perlawanan Liga Super Malaysia pada 5 Oktober 2025 mengatasi rekod 59 gol yang dijaringkan bekas tonggak kelab, Safiq Rahim," katanya.

Menurut hantaran itu lagi, hanya dua pemain import JDT iaitu Bergson Da Silva (166 gol) dan Gonzalo Cabrera (66 gol) yang mempunyai rekod jaringan lebih tinggi dalam sejarah kelab.

"Arif mencatatkan rekod tersebut dalam 170 penampilan bersama JDT dan turut menyumbang 66 bantuan jaringan.

"Arif telah menjaringkan 30 gol dalam Liga Super, lapan aksi Liga Juara-Juara AFC Elite, 10 di Piala FA, 12 di Piala Malaysia dan satu saingan Piala Shopee," tambahnya lagi.

Pencapaian tersebut menambah koleksi trofi peribadi Arif, yang sebelum ini dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) empat tahun berturut-turut, serta meraih gelaran Pemain Tengah Terbaik dan Gol Terbaik Liga Malaysia 2024/2025. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram