
STRUKTUR gaji minimum pekerja berjumlah RM1,700 sebulan sepatutnya sudah dilaksanakan bermula Februari 2025.
Namun begitu, tidak semua majikan yang mematuhi pelaksanaan tersebut selepas pemeriksaan dilakukan oleh pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Kementerian Sumber Manusia.
Menurut perkongsian Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, pihaknya melakukan pemeriksaan mengejut bersama Ketua Pengarah JTK, Kamal Pardi mengenai pelaksanaan gaji minimum di sebuah pusat beli-belah di Cyberjaya, Selangor.
BACA LAGI: Ada majikan masih rompak, manipulasi pelaksanaan gaji minimum — JPKK
BACA LAGI: KWSP laksana caruman mandatori untuk pekerja asing bermula 2 Oktober
"Saya hubungi Ketua Pengarah JTK, ajak buat pemeriksaan mengejut mengenai pelaksanaan gaji minimum di sebuah pusat beli-belah.
"Kita gerakkan Operasi Pemeriksaan Pematuhan Gaji Minimum, bermula di Cyberjaya, ke seluruh negara," katanya dalam siaran di media sosial.
Hasil daripada pemeriksaan tersebut, Abdul Rahman mendapati terdapat pekerja yang dibayar dengan gaji minimum namun perlu bekerja selama 12 jam tanpa dibayar upah lebih masa (over time).
Jumlah RM1,700 itu adalah bayaran bagi kerja yang dilakukan selama 7.5 jam atau 8 jam sahaja.
Abdul Rahman berharap agar majikan lebih mematuhi gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan supaya hak pekerja tidak ditindas.
"Tiada kompromi bila melibatkan hak pekerja, setiap sen gaji yang diterima pekerja tu hasil keringat dan maruah mereka.
"Saya harapkan semua majikan wajib patuhi kadar gaji minimum yang telah ditetapkan," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram