[VIDEO] Dari 'ballboy' di pinggir padang, Pavlovic kini tulang belakang Bayern Munich


  • Podium
  • Ahad, 12 Okt 2025

Kini Pavlovic sudah diberikan peluang tampil dalam 64 perlawanan bersama Bayern Munich. — Agensi

KURANG daripada dua tahun selepas membuat penampilan profesional pertamanya, Aleksandar Pavlovic kini muncul sebagai tonggak utama di  pasukan Bundesliga, Bayern Munich.

Selepas dua tahun diberikan peluang, pemain tengah muda berusia 21 tahun berkenaan kini menjadi nadi kepada corak permainan baharu di bawah kendalian Vincent Kompany.

Dilahirkan di Munich pada 2004 kepada bapa berwarganegara Serbia dan ibunya orang Jerman, perjalanan Pavlovic bermula secara sederhana bersama kelab tempatan SC Furstenfeldbruck.

BACA LAGI: [VIDEO] Sampai 'terbonceng' motor pesaing, Hafizh Syahrin terbabas di Sepang

BACA LAGI: Jangan lupa Man United, Bruno Fernandes berusia 33 tahun bila kontraknya tamat

Bakatnya dikesan ketika kejohanan tertutup pada 2011, sebelum diserap ke akademi remaja Bayern Munich dengan ia menjadi detik yang menandakan permulaan kisah kejayaannya.

Menariknya, Pavlovic pernah bertugas sebagai pembawa bola (ballboy) dalam perlawanan Bayern di Allianz Arena, ia merupakan satu pengalaman yang kini menjadi simbol permulaan kerjayanya.

Dalam satu video lama yang tular di YouTube, kelihatan Thomas Muller mengarahkan Pavlovic muda supaya segera menghantar bola semasa perlawanan, adegan itu kini dianggap ironi apabila kedua-duanya akhirnya bergandingan di padang sebagai rakan sepasukan.

Pavlovic membuat penampilan profesional pertamanya pada Oktober 2023, apabila bekas pengendali Bayern iaitu Thomas Tuchel memberinya peluang sebagai pemain gantian menentang Darmstadt dalam aksi Bundesliga.

Sejak itu, namanya terus menonjol dan kini Pavlovic sudah diberikan peluang tampil dalam 64 perlawanan dengan dia juga berhasil menjaringkan empat gol serta tiga bantuan jaringan.

Di bawah bimbingan Vincent Kompany, pemain muda tersebut terus berkembang dan kini menjadi pemain utama dalam kesebelasan Bayern.

Ketekunannya turut membuka pintu ke pentas antarabangsa apabila dia membuat penampilan pertama bersama skuad kebangsaan Jerman dalam keputusan seri 0-0 menentang Ukraine pada Jun 2024.

Walaupun masih muda, Pavlovic menunjukkan kematangan luar biasa di bahagian tengah padang apabila dia berani meminta bola, bijak berkomunikasi dengan rakan sepasukan, dan tenang menghadapi kesilapan, kualiti yang jarang dimiliki pemain sebayanya.

Pavlovic juga bermain untuk skuad kebangsaan Jerman. — Agensi

Pemerhati bola sepak melihat Pavlovic berpotensi menyertai barisan graduan akademi Bayern paling berpengaruh seperti Muller, Philipp Lahm dan Bastian Schweinsteiger, namun bakatnya dipercayai masih jauh daripada tahap maksimum.

Setiap kali beraksi di Allianz Arena, Pavlovic dilihat semakin matang, bukan sekadar sebagai pengatur tempo permainan, tetapi juga sebagai pencipta peluang utama pasukan.

Daripada seorang budak ballboy kepada pemain tengah utama Bayern Munich, kisah Pavlovic menjadi bukti bahawa kerja keras dan keazaman mampu membawa seseorang dari pinggir padang ke pentas utama bola sepak dunia. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram