
SAINGAN Liga A1 Semi Pro 2025/2026 tampak lebih kompetitif pada musim ini dengan menyaksikan wujud persaingan sihat merebut kedudukan dalam kalangan kelompok empat teratas.
Selepas tujuh perlawanan, Kelantan WTS FC terus mencuri tumpuan apabila muncul pendahulu liga dengan kutipan 16 mata, hasil daripada lima kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.
Namun, Armed Forces FC kekal menjadi pencabar utama di tempat kedua dengan 15 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu, sambil mengekalkan rekod tanpa kalah apabila memperoleh empat kemenangan dan tiga keputusan seri setakat ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur
BACA LAGI: Garisan padang tak siap antara punca aksi Perak lawan 'budak uni' ditangguh
Menariknya, Selangor FC II dan Kedah FA turut mempamerkan prestasi hampir sama apabila kedua-dua pasukan itu juga belum tewas, masing-masing menghuni tangga ketiga dan keempat dengan kutipan mata yang rapat.
Selain persaingan sengit dari segi kedudukan, Liga A1 Semi Pro juga melahirkan ramai penyerang tempatan yang berkualiti apabila ada di antara mereka memegang rekod penjaring terbanyak setakat ini.
Sekiranya di saingan Liga Super menyaksikan lambakan import menguasai kedudukan teratas penjaring terbanyak, Liga A1 masih masih menyimpan cerita manis buat penyerang lokal.
Pemain-pemain tempatan yang menyerlah pada musim Liga A1 kali ini membuktikan penyerang lokal masih menunjukkan ketajaman mereka walaupun menerima saingan daripada bintang import.
1) Hadi Mohamad
Muhammad Hadi dikenali sebagai Hadi Messi. — Instagram/Hadi
Menghuni kedudukan teratas sebagai penjaring terbanyak Liga A1 Semi Pro setakat ini, Muhammad Hadi Mohamad membuktikan dirinya selaku penggempur perlu diberikan perhatian setelah meledak enam gol selepas mengharungi tujuh perlawanan bersama Armed Forces FC.
Lebih mesra dengan panggilan ‘Hadi Messi’, bekas pemain Melaka FC musim lalu itu dilihat antara calon utama merebut gelaran Kasut Emas musim 2025/2026.
Dengan baki beberapa perlawanan yang masih terbuka, peluang untuk Hadi Mohamad mengekalkan status selaku penjaring terbanyak tampak cerah, lebih-lebih lagi dengan prestasi cemerlang yang ditampilkan setakat ini.
Pemain berusia 25 tahun berkenaan hadir daripada akademi bola sepak Selangor dengan karier awalnya bersama PKNS Bawah 19 tahun dan menyertai pasukan seperti Gergasi Merah, PIB, Perak FC II, Malaysia University dan Melaka FC.
Hadi Mohamad yang tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Super seolah-olah memberi petunjuk kepada kelab divisyen pertama untuk memantau bakatnya bagi memberinya kesempatan bermain di saingan teratas Liga Malaysia (Liga M).
2) Abdul Rahman Daud
Penyerang Selangor FC II, Abdul Rahman Daud juga antara mencuri perhatian pada musim ini apabila sudah meledak lima gol untuk skuad simpanan Gergasi Merah setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini.
Sumbangan mengagumkan itu jelas menjadi kunci di sebalik kedudukan memuaskan skuad muda Gergasi Merah ketika ini kerana dalam carta semasa, Selangor FC II berada pada kedudukan kedua, dibeza dua mata dengan pendahlu liga iaitu Kelantan WTS FC.
Sekiranya pemain berusia 20 tahun berkenaan terus tampil konsisten mencetak gol untuk Selangor FC II, tidak terkejut jika barisan kejurulatihan skuad utama memberinya peluang untuk melakukan debut.
Kemasukannya dalam skuad utama boleh memberikan dimensi baharu buat pasukan memandangkan Selangor FC tidak mempunyai penyerang tempatan dan meletakkan kepercayaan kepada Chrigor Moraes dan Willian Lira.
Untuk info, Abdul Rahman merupakan antara bekas penuntut Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dia dilahirkan di Syria mempunyai darah kacukan Eropah apabila ibunya berasal dari Itali, manakala bapanya pula berasal dari Johor.
3) Aqil Hilman
Aqil antara penyerang utama Kelantan WTS FC. — Instagram/KelantanWTS
Pendahulu Liga A1 Semi Pro, Kelantan Wan Tendong Stable FC (Kelantan WTS FC) menjadi antara pasukan digeruni pada musim ini dan sumbangan daripada Aqil Hilman wajar diberikan ucapan terima kasih.
Aqil yang ditugaskan sebagai penyerang utama kelab Pantai Timur berkenaan sudah meledak empat gol hasil mengharungi tujuh perlawanan bersama Kelantan WTS FC setakat ini.
Rekod yang cukup baik daripada pemain berusia 26 tahun itu pastinya hasil pengalamannya beraksi dengan pelbagai kelab Liga Super seperti PDRM FC, Kelantan United dan Perak FC.
Walaupun sudah tidak lagi beraksi di peringkat divisyen pertama, anak jati Kelantan itu bertekad mahu membuktikan kemampuannya lagi dengan Aqil juga banyak diberikan peluang oleh pengendali kelab, Che Saupi Ibrahim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram