
BARISAN pemain import musim ini berjaya menambah seri dalam saingan Liga Super apabila majoriti daripadanya sudah menyesuaikan diri, sama ada yang baharu mahupun mereka yang dikekalkan dari kempen lalu.
Ini sekali gus menyaksikan pertandingan tersebut semakin kompetitif di samping dapat membantu bintang lokal menjadi lebih baik kerana berada dalam pasukan yang seling melengkapi.
Bagaimanapun, kisah berbeza dialami sebilangan import yang sukar menyerlahkan diri selepas kira-kira dua bulan aksi Liga Super 2025/26 berlangsung.
BACA LAGI: 'Lahir di Kedah, saya boleh main untuk Penang', Milos Gordic 'bakar line' skandal warisan FAM
BACA LAGI: Wan Rohaimi tak pernah ragui Penang, Badrul pula lega kombinasi pemain TFC menjadi
Saingan Liga Super 2025/26 dihangatkan dengan kehadiran lambakan import berkualiti.
Malah, lebih mengejutkan lagi, terdapat dua pemain luar negara yang berdepan kesukaran untuk menempatkan diri dalam pasukan masing-masing sehingga terpaksa meninggalkan kelab.
Keputusan itu boleh dikatakan sebagai sesuatu yang terburu-buru memandangkan jendela perpindahan hanya dibuka pada Januari depan, sekali gus menyukarkan mereka mencari majikan baharu.
Namun, dengan kata putus sudah diambil, penyokong kedua-dua kelab itu hanya boleh melihat pemergian import berkenaan sambil mengharapkan ketiadaan mereka tidak memberi kesan negatif.
1. Limbikani Mzava (Penang FC)
Perbelanjaan besar dibuat Penang FC sepanjang jendela perpindahan lalu dengan harapan prestasi pasukan di peringkat domestik akan menjadi bertambah baik berbanding kempen lalu.
Tetapi, percaturan diambil pihak pengurusan dan ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail belum menampakkan hasil kerana skuad Harimau Kumbang hanya berada di tangga kesembilan selepas enam perlawanan.
Prestasi tidak menentu itu berpunca dari kualiti import dibawa masuk dengan ada daripadanya gagal membawa impak, terutamanya Limbikani Mzava yang sepatutnya menjadi tonggak baharu dalam benteng pertahanan.
Limbikai menyatakan keputusannya menyertai skuad Harimau kumbang didorong cita-citanya untuk menjadi ejen bola sepak. — Facebook/Penang FC
Ini kerana pemain berusia 31 tahun terbabit memiliki pengalaman cukup luas bersama kelab-kelab sekitar Afrika di samping sudah mengumpul 64 penampilan bersama skuad kebangsaan Malawi.
Bagaimanapun, sehingga hari ini, keputusan Penang FC untuk menandatangani Limbikani terus bermain dalam fikiran penyokong kerana dia masih belum beraksi secara kompetitif.
Pendedahan sebelum ini mengatakan bek tengah terbabit bercita-cita menjadi ejen kepada pemain Afrika ke dalam Liga Super yang berbeza dengan perancangan skuad Harimau Kumbang.
Semakan di laman transfermarkt turut mendapati Limbikani kini tidak terikat dengan mana-mana pasukan, sekali gus mengesahkan pemergian bek tengah itu.
2. Iker Underbarrena (JDT)
Selain Penang FC, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga sibuk sepanjang jendela perpindahan lalu dengan membawa masuk pemain baharu selain menunjukkan jalan keluar kepada mana-mana yang kurang memberi sumbangan.
Namun, tempoh tersebut tidak cukup panjang buat skuad Harimau Selatan apabila mereka terpaksa melakukan aktiviti perpindahan tidak lama selepas saingan Liga Super 2025/26 bermula.
Hal dimaksudkan adalah ketika JDT bertindak melepaskan pemain tengah, Iker Undabarrena yang sempat mencipta penampilan ketika pasukan Selatan tanah air itu menundukkan Negeri Sembilan FC.
Iker meninggalkan skuad Harimau Selatan selepas hanya sempat beraksi sekali dalam Liga Super 2025/26. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Selepas itu, import dari Sepanyol tersebut tidak lagi terlibat dalam mana-mana perlawanan, sama ada di peringkat domestik, Piala Shopee mahupun Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Teka-teki berhubung keberadaannya akhirnya terjawab selepas hantaran di Instagram peribadinya mengesahkan pemain tersebut tidak lagi beraksi buat JDT.
Pemergian Iker dijangka tidak memberi kesan besar kerana pengendali pasukan, Xisco Munoz memiliki lambakan pilihan di posisi terbabit sama ada dalam kalangan lokal mahupun import. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram