
KEMERIAHAN Liga A1 Semi Pro dirasakan musim ini apabila semakin banyak pasukan berasaskan kenegerian tampil bertanding berbanding edisi terdahulu.
Ini termasuk Perak FA, Kedah FA dan dua kelab dari Negeri Cik Siti Wan Kembang iaitu Kelantan Wan Tendong Stable (WTS) dan Kelantan Red Warriors (KRW) FC.
Ini merupakan satu perubahan positif boleh disaksikan kerana secara tidak langsung, lebih banyak syarikat tempatan mahupun luar negara tertarik untuk membuat pelaburan.
BACA LAGI: [VIDEO] Bintang Liga A1 letakkan diri dalam senarai eksklusif, gegar JDT lepas hampir digugur
BACA LAGI: Garisan padang tak siap antara punca aksi Perak lawan 'budak uni' ditangguh
Liga A1 Semi Pro semakin mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan. — Facebook/AFL
Meskipun jumlah dicurah tidaklah begitu besar, tajaan lebih menguntungkan bermakna pasukan akan tertarik untuk berbelanja besar, namun masih mementingkan kelancaran operasi.
Bagaimanapun, sekiranya mahu pertandingan itu terus lancar, Liga Bola Sepak Amatur (AFL) sebagai pengelola perlu cakna akan setiap isu yang timbul.
Pada awal musim, isu dokumentasi menyaksikan dua perlawanan awal KRW FC menentang Selangor FC II (4 Ogos) dan Seoul Phoenix (10 Ogos) terpaksa ditunda.
Ini merupakan petanda awal bahawa Liga A1 Semi Pro tidak terkecuali dari masalah sedemikian dengan peminat bola sepak di Kelantan mula kurang tertarik akan penundaan terbabit.
Dua aksi awal melibatkan KRW FC ditunda sehingga menjejaskan keterujaan peminat di Kelantan. — Facebook/KRW FC
Masalah berkaitan pertandingan berkenaan sekali lagi berlaku selepas baru-baru ini, aksi melibatkan Perak FA dan Malaysian University FT pada Ahad terpaksa dibawa ke tarikh baharu.
Perlawanan itu sepatutnya berlangsung di Stadium MMU, Cyberjaya dengan penyokong skuad Seladang bertolak lebih awal untuk memberi sokongan.
Namun, keterujaan berkenaan terpadam setelah tuan rumah gagal menyediakan venue dalam keadaan sempurna dengan garisan padang tidak kelihatan.
Isu tersebut sepatutnya tidak berlaku kerana pihak pengurusan kelab dan AFL sendiri perlu memastikan venue bersedia untuk mengadakan perlawanan sekurang-kurangnya sehari sebelum sepak mula.
Garisan padang tidak kelihatan sebelum aksi antara Perak FA dan Malaysian University FT. — Facebook/Perak FA
Kegagalan menyediakan venue sepatutnya dijadikan punca untuk setiap pasukan dikenakan hukuman lebih berat sebagai bentuk peringatan agar isu sedemikian tidak berulang.
Pemotongan mata dan denda merupakan antara bentuk tindakan yang wajar diambil atas kesilapan teknikal sedemikian dengan kes sedemikian tidak sepatutnya berulang.
Selain itu, Perak FA sebagai mangsa boleh dihadiahkan tiga mata penuh dari perlawanan terbabit kerana mereka sudah bersedia untuk beraksi.
Keputusan hanya boleh diberikan AFL yang kali ini perlu bertindak tegas dalam mengelak isu teknikal sedemikian berulang saban musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram