'Pemergian tokoh yang disegani', legenda Kedah, Hussin Jaafar meninggal dunia selepas lebih sebulan di ICU


  • Podium
  • Sabtu, 11 Okt 2025

Hussin Jaafar menghembuskan nafas terakhir selepas hampir sebulan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah dekat Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

LIGA bola sepak Malaysia sekali lagi berduka atas pemergian penyerang legenda Kedah, Hussin Jaafar yang menghembuskan nafas terakhir selepas hampir sebulan menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah dekat Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan di laman media sosial, Allahyarham dilaporkan mengalami jangkitan kuman pada paru-paru ketika berada di Johor bersama pasukan bola sepak Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) pada pertengahan September lalu.

Berita pemergian Allahyarham dikongsikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit, Rashidi Razak menerusi laman Facebook mliknya pada Sabtu. 

BACA LAGI : Hampir sebulan di ICU, legenda Kedah, Hussin Jaafar mula tunjuk perkembangan positif

BACA LAGI : Bintang warisan optimis terlepas penggantungan FIFA, kembali beraksi bersama kelab

"Pemergian tokoh yang disegani. Menerima khabar duka dengan pemergian Allahyarham Hussin Jaafar, seorang tokoh yang cukup disegani dalam arena bola sepak tanah air.

"Kenangan terakhir Rashidi bersama Allahyarham adalah ketika memenuhi undangan ke majlis pernikahan anakandanya. 

"Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar buat kita semua, khususnya dalam dunia sukan.

"Salam takziah buat seluruh keluarga Allahyarham. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-Fatihah," katanya yang turut memuat naik satu gambar bersama Allahyarham. 

Berita pilu pemergian Hussin Jaafar turut dikongsikan Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah merangkap Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Muhammad Radhi Mat Din menerusi laman sosialnya pada Jumaat.

"Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Mendapat perkhabaran menyedihkan pemergian legenda Kedah, Hussin Jaafar, pukul 8.14 malam tadi," tulisnya. 

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Masjid Tunku Puteri Intan Safinaz, Anak Bukit dekat Alor Setar, Kedah pada Sabtu. 

Sebelum ini, Majoriti melaporkan bekas pemain legenda Kedah era 90-an itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah dekat Johor Bharu, Johor kerana masalah kesihatan yang tidak didedahkan. 

Untuk rekod, Hussin Jaafar merupakan antara watak utama dalam sejarah bola sepak Kedah turut diberi kepercayaan mengendalikan skuad Hijau Kuning dalam kempen Piala Emas Raja-Raja.

Menerusi kepimpinannya sebagai ketua jurulatih, Kedah berjaya melangkah ke separuh akhir dengan menggunakan formasi taktikal 3-6-1 yang jarang dipraktikkan pasukan lain pada ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram